Wednesday, June 23, 2010

Pantai Air Tawar


keindahan pantainya pasti memukau pandangan


berkunjunglah ke sini... pasti berbaloi-baloi

Secara amnya tarikan pantai merupakan sumber aktiviti pelancongan yang utama di Daerah Besut. Antara pantai-pantai sedia ada yang menjadi tumpuan pelancong dan pelawat ialah Pantai Air Tawar, Pantai Bukit Keluang dan Pantai Dendong.



Antara aktiviti yang dijalankan di pantai-pantai tersebut adalah seperti perkelahan, mandi-manda dan bersiar-siar di persisiran pantai. Kawasan peraginan ini sebenarnya sudah lama wujud dan sentiasa dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap petang dan hujung minggu ataupun pada musim cuti.

Di sini terdapat kemudahan seperti hotel, chalet, pondok telefon, gerai-gerai makanan, taman permainan kanak-kanak dan lain-lain.



Pada setiap tahun kawasan peraginan ini sentiasa diadakan Pesta Kebudayaan dan Kesenian bagi menyambut kedatangan para pelancong kesini.



Pantai Air Tawar terkenal dengan keindahan pantainya dan tidak begitu asing lagi bagi penduduk setempat. Dengan kemudahan yang ada, ia kerap menjadi destinasi percutian keluarga selain menjadi tempat pilihan untuk menjalankan aktiviti kebudayaan dan sebagainya. Kemudahan astaka yang disediakan memudahkan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan.

Lata Tembakah


selamat datang ke Lata Tembakah. Jambatan yang dibina merentangi laluan air yang terbentuk dari air terjun


rasailah sendiri kedinginan air di Lata Tembakah

Terletak di Hutan Simpan Pelagat dalam Daerah Besut. Ianya merangkumi kawasan seluas 300 hektar dan terletak kira-kira 24 km dari Jerteh dan 130 km dari Bandar Kuala Terengganu.

Kawasan hutan lipur ini mula dimajukan dalam tahun 1987 dan menjadi tarikan pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar negeri disebabkan oleh beberapa keistimewaan yang terdapat disini seperti tumbuh-tumbuhan semulajadi, sungai yang bersih, air terjun yang menarik dan kolam-kolam semulajadi yang sangat sesuai untuk tujuan untuk perkelahan bersama keluarga.

Di sini amat popular sebagai destinasi untuk menjalankan aktiviti perkhemahan. Setiap hujung minggu ataupun cuti sekolah, tempat ini tidak pernah sunyi kerana sentiasa dihidupkan dengan kem kesedaran bina insan, jati diri,pengakap, kadet polis dan lain-lain lagi.

Lata Tembakah menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk setempat malah mereka yang tinggal di luar kawasan Besut. Jambatan gantung yang disediakan selain air terjun dan batu batan yang cantik sememangnya cukup menyejukkan mata yang memandang.

Lata Belatan


papan tanda yang menyambut ketibaan anda


keindahan air terjun yang mengasyikkan

Lata Belatan terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Tebu dalam kawasan Pentadbiran Hutan Terengganu Utara.Ianya merangkumi kawasan seluas 20 hektar dan terletak kira-kira 15 kilometer ke selatan bandar Jerteh atau 103 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

Bagi tujuan keindahan semulajadi, seluruh kawasan dalam kompatmen 49 dan 50 dengan keluasan lebih kurang 403 hektar yang meliputi kawasan hutan lipur ini telah dikekalkan. Hutan lipur telah dimajukan secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 1985.

Kawasan Hutan lipur Lata Belatan terdiri dari hutan asli jenis hutan Pamah Diptercorp. Ianya kaya dengan pokok-pokok jenis Diptercarp seperti Meranti dan Keruing yang melebihi 50% daripada komposisi hutan. Jenis-jenis bukan Diptercorp yang terdapat disini ialah Nyatoh, Kelat, Mersawa, Rengas, Kedondong dan lain-lain.

Manakala dikawasan berbukit tinggi menghala ke puncak Gunung Tebu, terdiri daripada jenis Meranti, Balau Laut Merah. Dikawasan lereng-lereng bukit yang curam jenis-jenis yang lazim terdapat disini ialah Meranti Seraya, campuran Meranti Keruing dan juga sedikit jenis konifer seperti Podo dan Damar Minyak.

Pembangunan Hutan Lipur Lata Belatan adalah berdasarkan pengurusan berkekalan dimana pembangunan yang dilaksanakan adalah berharmoni dengan alam sekitar. Konsep pembangunan yang bersesuaian dengan kawasan ini ialah "Forest Camping Holiday".

Bagi mengekalkan keindahan semulajadi dan kejernihan air yang mengalir, 49 dan 50 dengan keluasan 403 hektar telah kekal di bawah pengelasan Hutan Rekreasi.

Di antara aktiviti-aktiviti yang dapat dilakukan disini ialah berehat sambil menikmati suasana keindahan alam semulajadi, berkelah secara bersendirian, bersama keluarga atau berkumpulan, berkhemah dan merentas hutan (jungle tracking).

Bagi mereka yang ingin cabaran dan merasai suasana pengembaraan hutan yang lebih bermakna, bolehlah mendaki ke puncak Gunung Tebu dengan ketinggian 1,097 meter dari aras laut. Pendakian ini mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai kepuncaknya. Keadaan cuaca yang sejuk dengan persekitaran tumbuh-tumbuhan gunung yang berbagai jenis serta pemandangan yang menarik menambahkan lagi keunikan kawasan ini.

Kemudahan yang disediakan di sini ialah gerai makan, tandas awam, surau, pondok rehat, jambatan gantung, pondok pengawal dan tapak perkhemahan.

Kolam Air Panas La


papan tanda yang menyambut kedatangan anda


surau dan tempat menjamu selera


kolam air panas yang menyegarkan

Kawasan air hangat ini terletak di pendalaman Hulu Besut kira-kira 28 km dari Bandar Jertih Terengganu. Pusat Pelancongan ini atau lebih dikenali dengan panggilan La Hot Spring telah dibuka kepada orang ramai sebagai tempat pelancongan pada tahun 1992 sempena perlancaran Ekspo Pembangunan dan Pekan Budaya Daerah Besut.

Pusat rekreasi ini sebenarnya sudah lama wujud dan dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap hujung minggu dan cuti am untuk menikmati keindahan alam semulajadi.

Pengunjung berpeluang melihat air hangat yang keluar menerusi lubang dari sebuah bukit dan terus mengalir ke dalam kolam yang disediakan.

Air hangat yang mengalir ini mengandungi kimia "SULFUR" atau belerang dengan kehangatannya mencapai 49 darjah celsius. Ianya berkhasiat untuk mengubati penyakit kulit dan juga boleh dimandi. Di sini juga terdapat Wadding Pool bekas air hangat (thermos).

Selain itu, air hangat buatan juga dibina selain kolam seperti spa bagi memudahkan orang ramai untuk menikmati kehangatan air hangat buatan ini secara persendirian. Di sini, pengunjung yang datang tidak pernah berkurang kerana setiap masa dikunjungi. Tarikan utama adalah air hangat semulajadi yang menjadi kepercayaan masyarakat yang dapat menyembuhkan penyakit selain mendapatkan kesegaran tubuh badan.

La Hot Spring juga menyediakan banyak kemudahan untuk orang ramai seperti rumah rehat, musalla, tandas awam, restoran dan lain-lain lagi.

Gunung Tebu


keindahan Gunug Tebu yang tiada tandingnya

Gunung Tebu merupakan sebuah gunung yang terdapat di Negeri Terengganu, Malaysia. Gunung Tebu mempunyai ketinggian 1,039 meter dan Gunung Tebu mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Dengan berlatarbelakangkan Laut China Selatan, keindahan Pulau Perhentian dapat dilihat dari Puncak Gunung Tebu jika tidak berkabus tebal.

Keunikan Gunung Tebu ialah di puncaknya terdapat sebuah kubur dan tempat yang menjadi pilihan pesilat-pesilat untuk bertapa. Lokasi Gunung Tebu terletak di Hutan Lipur Lata Belatan iaitu 24 km dari Pekan Jertih melalui Jalan Raya Kuala Terengganu-Jertih, 118 km dari Kuala Terengganu. Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Bandar Permaisuri atau Pekan Jertih. Dari Pekan Jertih, kita terus menuju ke Kampung Jabi untuk ke Hutan Lipur Belatan.

Hutan Lipur Lata Belatan, adalah titik permulaan untuk mendaki Gunung Tebu. Di sini terdapat resort dan pondok Jabatan Hutan. Setiap pendaki perlu mendaftarkan diri di pondok berkenaan sebelum memulakan pendakian. Setiap orang dikenakan bayaran sebanyak RM5 sebagai permit mendaki.

Di sini juga para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berkhemah dan bersiar-siar. Antara kemudahan lain yang disediakan ialah gerai-gerai, astaka serta dilengkapi dengan kemudahan elektrik.
Related Posts with Thumbnails