Wednesday, June 23, 2010

Pulau Perhentian







Latarbelakang

Pulau Perhentian terletak lebih kurang 10.8 batu nautika (20 km) ke Timur Laut Kuala Besut. Pulau ini terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Besut.

Gugusan Pulau Perhentian merangkumi:
a) Pulau Perhentian Besar
b) Pulau Perhentian Kecil
b) Pulau Susu Dara dan pulau-pulau kecil yang lain.

Keluasan keseluruhannya adalah 1, 392.15 hektar. Terdapat kawasan pantai berpasir yang agak luas walaupun secara keseluruhannya diliputi oleh kawasan berbukit dan tebing di mana boleh mencapai setinggi 70 km hingga 300 km.

Kemudahan Awam Dan Infrastruktur

Hampir kesemua kemudahan awam terdapat di kawasan penempatan penduduk iaitu di Pulau Perhentian Kecil. Antara kemudahan yang disediakan ialah tadika, sekolah rendah, masjid, balairaya, pondok polis, klinik kesihatan, wakil pos, bomba rakyat, kawasan perkuburan, kedai Mara 2 tingkat dan perkedaian.

Kemudahan lain yang disediakan ialah Jeti awam di Teluk Pauh, Teluk Keke dan Jeti Utama di kawasan perkampungan. Bersesuaian dengan status perairan Pulau Perhentian sebagai Taman Laut pula, Jabatan Perikanan telah membina sebuah Pusat Taman Laut bagi menempatkan kakitangan untuk mengawal pengairan di samping menyedia kemudahan informasi.
Keadaan Semasa

Gunatanah Utama Pulau Perhentian ialah penempatan pelancongan dan kawasan hutan. Terdapat hanya sebuah kawasan penempatan iatu di kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Kawasan penempatan ini seluas 9.87 hektar. Penempatan ini telah telibat dengan Program Penyusunan Semula Kampung nelayan Tradisional. Melalui program ini, pembinaan rumah dilaksanakan secara lebih teratur. Jumlah penduduk di Pulau Perhentian ialah kira-kira 1,300 orang dengan hampir 80% terlibat dengan sektor pelancongan, 20% di sektor awam dan perniagaan runcit.

Kawasan-kawasan pelancongan tertumpu di sekitar Teluk Pauh, Pasir Jong, Teluk Keke dan Teluk dalam di Pulau Perhentian Besar, manakala di Pulau perhentian Kecil tertumpu di Pasir Panjang, Teluk Kerma, Teluk Aur serta di beberapa tempat di pantai sebelah timur.

Sebahagian besar di kedua-dua pulau ini masih diliputi hutan dara dengan spesis pokok seperti Cengal, Balau, Bitangor Laut, Kelat Laut dan Rhu.

Laut di sekitar pulau pula terdapat batu karang terutamanya di Pantai Tiga Ruang, Teluk Dalam, Tanjung Tukas laut, Teluk Kerma dan di kawasan perairan antara Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Mengikut kajian yang dijalankan, lima puluh spesis batu karang telah ditemui di sekitar Pulau Perhentian. Di sesetengah tempat pula boleh didapati dua puluh jenis batu karang lagi setiap 200 meter persegi kawasan laut.

Selain itu enam pantai berpasir di Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan Penyu Karah dan Penyu Agar bertelur iaitu di Tanjung Gantung dan Pasir Pengalau di Pulau Perhentian Kecil juga di Pasir Tiga Ruang, Tanjung Tiga Ruang, Tanjung Tukas Laut dan Tanjung Pinang Seribu di Pulau Perhentian Besar. Terdapat juga spesis burung layang-layang (Walet) yang membuat sarang burung di gua-gua sekitar Teluk Batu Tabir dan Gua Buaya.
Bekalan Air

Punca utama bekalan air di Pulau Perhentian adalah dari air bawah tanah iaitu dari Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar. Perkhidmatan bekalan air SATU hanya tertumpu di kawasan petempatan di Pulau Perhentian Kecil. Bagi pusat-pusat pelancongan lain mendapat bekalan air dari bawah tanah di sekitar kawasan masing-masing. Secara keseluruhan bekalan air tidak mencukupi terutama di musim kemarau

Bekalan Elektrik

Bekalan elektrik TNB juga hanya terdapat di kawasan petempatan di Pulau Perhentian Kecil dengan perkhidmatan 24 jam. Bagi kawasan pelancongan, bekalan elektrik adalah menggunakan "Janakuasa Persendirian" dan kebanyakannya tidaka dapat menyediakan bekalan elektrik 24 jam.

Sistem Pengangkutan

Sistem pengangkutan laut dengan bot adalah nadi utama pengangkutan di antara Pulau Perhentian dan Tanah Besar. Terminal jeti pelancongan utama di Tanah Besar terletak di Kuala Besut. Terminal yang bernilai hampir RM 3 juta ini mula beroperasi pada awal tahun 1998 untuk kemudahan pelancong untuk menunggu dan menaiki bot, kaunter tiket, menjual barang-barang kraftangan, kedai makan dan sebagainya.

Perhubungan jalan darat antara petempatan dan kawasan pelancongan ialah laluan pejalan kaki melalui denai yang sememangnya menjadi kegemaran pelancong luar negeri merentasinya. Selain itu terdapat juga bot kecil yang dipanggil 'teksi' digunakan untuk membawa penumpang ke lokasi pelancongan.

Pelupusan Sampah

Majlis Daerah Besut mula mengadakan khidmat pungutan sampah mulai tahun 1997. Pemborong yang dilantik memungut sampah di kawasan petempatan dan pelancongan seterusnya dibawa ke Tanah Besar untuk dilupuskan di tapak pelupusan sampah. Kerja-kerja pengutan sampah ini beroperasi daripada bulan Februari hingga Oktober setiap tahun.


Potensi Pelancongan

Terdapat lebih kurang 1,000 buah bilik penginapan dari 42 buah pengusaha chalet dan resort dalam pelbagai kategori termasuk Pusat Peranginan Mewah, Chalet bertaraf sederhana dan rendah, Dorm serta kawasan perkhemahan dengan kadar sewa antara RM 50 hingga RM 300 sehari.

Kejernihan air laut serta kepelbagaian hidupan marin selain daripada kesesuaian tempat menjadikan pusat pelancongan ini popular dengan aktiviti-aktiviti snorkeling, soating, perkhemahan dan melihat penyu bertelur.

Keaslian dan keindahan alam sekitar semulajadi yang belum terjejas seperti laut daratan, pasir dan batu, gua, bukit-bukit, hutan dan tumbuhan semulajadi memungkinkan pelbagai aktiviti dapat dijalankan seperti jungle tracking, penyelidikan dan sebagainya.

Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan pelancong untuk aktiviti scuba diving dan sijil yang dikeluarkan adalah diiktiraf di peringkat dunia.

Penglibatan aktif sama ada secara langsung dan tidak langsung penduduk tempatan dalam industri pelancongan dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk di Pulau Perhentian dan secara tidak langsung menggerakkan aktiviti-aktiviti hiliran dalam sektor perkhidmatan di pulau ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails