Thursday, June 24, 2010

MUZIUM NEGERI





Muzium Negeri Terengganu telah ditubuhkan pada tahun 1976 di bawah Enakmen Bil. 9 Tahun 1976. Penubuhan ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 28 Disember 1976 dan mula berkuatkuasa pada 1 November 1977.
Dari segi rentetan sejarahnya, hasrat dan cita-cita untuk menubuhkan Muzium Negeri ini tercetus sejak awal tahun 1920 an lagi natijah daripada peristiwa perjumpaan Batu Bersurat Terengganu di Kampung Buloh, Hulu Terengganu oleh Syed Hussein Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902. Peristiwa penemuan Batu Bersurat yang bersejarah ini telah melahirkan rasa kegembiraan dan rasa kesyukuran seluruh rakyat Negeri Terengganu pada waktu itu. Namun, masalah timbul kerana ketiadaan tempat untuk menyimpan batu bersejarah ini. Keadaan ini telah mencabar dan menyedarkan pimpinan negeri itu betapa pentingnya negeri ini mempunyai Muzium sendiri.
Ekoran daripada itu, Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah tiada pilihan selain memperkenankan Batu Bersurat itu dibawa ke Singapura untuk disimpan dan dipamerkan di Muzium Gambar Raffles pada tahun 1923. Menteri Besar Terengganu pada masa itu Dato’ Haji Ngah Mohd Bin Yusof telah bersetuju dengan surat jawapan daripada Penasihat British yang berbunyi :
" Maka apakala diadakan Muzium di dalam Terengganu kelak ataupun tempat lain yang munasabah bolehlah kerajaan mengambil balik pula pada bila-bila masa yang dikehendaki adanya "

Berikutan itu, kesedaran serta semangat untuk menpunyai Muzium sendiri semakin memuncak. Pada tahun 1955, Y.A.B. Dato’ Menteri Besar, Dato’ Haji Kamaruddin Bin Haji Idris ( Menteri Besar Terengganu ketika itu ), telah menubuhkan satu jawatankuasa serta membayangkan hasrat untuk mewujudkan Muzium di Negeri Terengganu. Jawatankuasa ini telah dianggotai oleh Y.B.M. Engku Pengiran Anom, Haji Mohd Salleh Bin Haji Awang, Cikgu Muhamad Akil Bin Atan serta Haji Wan Endut Bin Othman. Peranan utama jawatankuasa ini ialah untuk mengumpul dan memperolehi barang-barang lama dan bersejarah. Namun begitu, perjalananan jawatankuasa ini terbantut kerana masalah kewangan dan peruntukan undang-undang.

Kesinambungan daripada itu, pada 14 januari 1960, Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Andika Indera, Encik Ishak Bin Mohd Isa telah membuat satu perjumpaan dan hasilnya, satu persetujuan dicapai sebulat suara untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali dengan nama Jawatankuasa Barang Lama dan Sejarah Peringkat Negeri. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, manakala Allahyarham Dato’ Setia Jasa ( Dato’ Haji Mohd Saleh Bin Haji Awang ) berperanan sebagai Setiausaha. Serentak dengan itu, satu peruntukan telah diwujudkan di bawah kelolaan Jabatan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membeli barang dan koleksi warisan sejarah serta budaya negeri Terengganu. Kerja-kerja pengumpulan barang dan koleksi mula digiatkan mulai Julai 1960 dan ianya telah ditempatkan di dalam almari di satu sudut khas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jalan Cherung Lanjut, Kuala Terengganu.
Perkembangan yang positif ini telah mengorak langkah yang lebih luas lagi dan hasrat untuk mempunyai Muzium sendiri semakin mendapat perhatian dan sokongan Kerajaan Negeri . Pada 3 Febuari 1974, sebuah jawatankuasa untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan penubuhan Muzium Negeri telah dibentuk. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Wira Jaya, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada waktu itu. Dengan pembentukan jawatankuasa ini, hasrat untuk menubuhkan Muzium Negeri mula menampakkan bibit-bibit kejayaan khususnya apabila termaktubnya Enakmen Lembaga Muzium Negeri Terengganu ( Enakmen Bil 9/ 1976 ).
Pentadbiran Muzium Negeri terletak di bawah kuasa Bahagian Pentadbiran, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Pada tahun 1979, kerja-kerja pengumpulan dan perolehan barang-barang lama dan bersejarah diteruskan dengan lebih giat. Operasi dan fungsi muzium terus diperluaskan. Pada waktu itu, dua orang tokoh yang memainkan peranan yang penting di dalam mengemudikan perkembangan dan kemajuan Muzium Negeri ialah Allahyarham Dato’ Setia Jasa ( Dato’ Hj. Mohd Saleh Bin Awang ) dan Tuan Haji Othman Bin Haji Ali. Kerja-kerja penyelidikan, galicari dan pemuliharaan bangunan lama yang bersejarah telahpun dimulakan.
Era tahun 1980 an telah meningkatkan lagi perkembangan Muzium Negeri. Pada tahun 1981, seorang kurator telah dilantik untuk menerajui Muzium Negeri. Manakala menjelang tahun 1985, jawatan ini telah ditingkatkan kepada jawatan Pengarah.
Pada bulan April 1994, sekali lagi berlaku perubahan yang menarik di dalam sejarah Muzium Negeri. Ini kerana segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pameran telah berpindah ke ‘ rumah baru ‘, iaitu Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang terletak di kawasan seluas 27 hektar di Kg. Bukit Losong, Paloh, Kuala Terengganu.
MUZIUM Negeri Terengganu (MNT) di Bukit Losong, Losong, Kuala Terengganu mempunyai reka bentuk unit dan menarik kerana bangunannya diperbuat daripada kayu yang melambangkan tradisi masyarakat Melayu.

MNT di Bukit Losong, Losong, Kuala Terengganu mempunyai reka bentuk unit dan menarik kerana bangunannya diperbuat daripada kayu yang melambangkan tradisi masyarakat Melayu.

Muzium itu juga mempunyai landskap tersusun di mana kedudukan bangunannya yang dikelilingi pelbagai jenis tanaman menghijau manakala kedudukannya di atas bukit menjadi kawasan muzium itu mudah dilihat dari jauh termasuk dari jambatan Sultan Mahmud.

Deretan pokok palma dan kelapa di sepanjang jalan di kawasan muzium itu memberikan suasana teduh manakala di tempat meletak kereta pula terdapat sepohon pokok ketapang berusia lebih 100 tahun.

Kedudukan sebuah tasik buatan berhampiran laluan ke pintu masuk muzium turut mengindahkan suasana luaran muzium dengan diselitkan sebuah air pancut di tasik itu.

Sebuah jambatan kecil daripada kayu merentangi tasik itu untuk menghubungkan laluan ke bahagian dalam muzium.

Jambatan ini dibina dengan berbentuk melengkung manakala atapnya bertingkat supaya berseni dan menarik.

Sebuah garaj besar yang memuatkan kenderaan lama termasuk kereta yang digunakan sultan-sultan Terengganu terdahulu diletakkan di hadapan muzium bagi memudahkan pengunjung melihatnya dan bergambar kenangan.

Paling menarik ialah reka bentuk bangunan muzium daripada kayu dan diukir secara tradisional Melayu dan ia menggambarkan istana Kesultanan Melayu Terengganu zaman silam manakala tangga dan pagarnya daripada gabungan kayu dan batu.

Beberapa batang meriam lama diletakkan di beberapa tempat berhampiran bangunan muzium seolah-olah menggambarkan senjata untuk mengawal istana raja di zaman silam.

Kelihatan juga sebuah wakaf rehat yang dibuat dengan menggunakan kayu di tepi jalan menghala ke muzium.

Rimbunan pokok bunga kertas di sepanjang jalan turut mengindahkan lagi pemandangan landskap di bahagian luar muzium.Ini adalah kompleks muzium terbesar di Asia Tenggara, dengan menempatkan empat blok utama selain mempunyai muzium maritim dan lima rumah tradisional.

Ia dibina dengan landskap taman yang indah, dan mengembalikan kegemilangan Terengganu yang kaya dengan sejarah budaya yang kekal sehingga ke hari ini.

Terletak di atas 27 hektar tanah di Bukit Losong, Kuala Terengganu, kompleks ini menyerlahkan senibina yang menarik mendapat inspirasi dari istana lama di Terengganu.

Ia menempatkan sebuah muzium utama, muzium maritim, muzium perikanan, empat rumah tradisional, dan taman botani serta taman ulam.

Muzium utama mempunyai galeri yang mempamerkan tekstil, teknik anyaman, senjata tradisional, perkembangan petroleum, seni Islam dan banyak lagi.

Tips
Kaunter tiket terletak di Jeti Shahbandar, berhadapan Pejabat Pos Utama. Harga tiket ialah RM 5 seorang.

Pengangkutan

Kereta
Mereka yang ingin memandu sendiri ke Muzium, harus mengambil laluan ke Kampung Losong yang terkenal dengan pembuatan keropok lekor. Muzium itu dapat dilihat di atas Bukit Losong.

Bas
Hanya 15 minit perjalanan menggunakan bas dari stesen bas MBKT ke Muzium atau Losong.

Teksi
Dari Stesen Teksi Kuala Terengganu, perjalanan hanya 10 minit untuk ke muzium.



Talian Untuk Dihubungi
Pejabat Tourism Malaysia Negeri Terengganu, Tingkat 5, Menara Yayasan Islam Terengganu, Jalan Sultan Omar, 20300 Kuala Terengganu. Tel: +609-622 1433 / 1893 Faks: +609-622 1791



Penginapan
Terdapat pelbagai pilihan penginapan di sekitar Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails