Kampong Jenang terletak kira-kira 12 km dari Bandar Marang & kira-kira 30 km dari Kuala Terengganu. Kampong Jenang merupakan salah sebuah perkampungan tradisi di Mukim Jerong dalam Daerah Marang. Kampong Jenang merupakan salah satu destinasi pelancongan yang sering dikunjungi pelancong tempatan & pelancong dari luar Negara.
Perkampungan yg didiami oleh kira-kira 500 penduduk ini dilengkapi dengan kemudahan prasana untuk penduduk setempat seperti masjid, balairaya, dewan orang ramai, telefon awam, tapak perkuburan, jalinan jalan raya dan sebagainya.
Sejarah Kampong Jenang bermula sekitar tahun 1907 semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin 1. Perkampungan ini pada awal penerokaanya diasaskan oleh Allayarham Jusoh Bin Abdullah. Sejarah bermula apabila 4 buah keluarga telah mudik ke hulu Sungai Marang dan berhijrah ke sebuah tempat yang masih belum mempunyai penghuni dan nama. Mereka membuat keputusan untuk menetap di sana dengan mewujudkan sebuah penempatan kecil.
Nama perkampungan ini bermula apabila Almarhum Sultan Zainal Abidin 1 telah menitahkan agar rakyat jelata mencari batang kayu untuk dijadikan istana baginda yang baru. Titah tersebut telah disampaikan kepada seluruh pelusuk kampong. Titah Baginda akhirnya sampai ke perkampungan tersebut lalu penduduk perkampungan tersebut mempersembahkan sebatang kayu dari kampung tersebut kepada Baginda. Kayu tersebut telah mendapat perkenan Tuanku untuk digunakan di istana. Kayu tersebut dijadikan “jenang” pintu istana dan bersempena dengan peristiwa tersebut maka Baginda Sultan telah berkenan untuk menamakan kampong tersebut dengan nama Kampong Jenang.
Aktiviti utama penduduk adalah menanam padi huma dan ubi kayu. Selain dari itu, aktiviti mencari dan menjual kayu api di pekan Marang turut menjadi sumber ekonomi mereka bagi menyara keluarga.
Aktiviti di Kampong Jenang
Pembuatan Atap Nipah
Atap daun nipah memiliki keistimewaan tersendiri seperti menyediakan persekitaran yang sejuk, selain tahan untuk jangkamasa panjang. Pokok Nipah adalah sejenis palma yang tumbuh di lingkungan hutan bakau atau daerah pasang surut berhampiran tepi laut, juga dikenali sebagai Buyuk di Indonesia.
Pembuatan Daun Rokok Nipah
Sejak dari dulu, pucuk daun Nipah muda dijadikan daun rokok dan amalan itu turut diikuti masyarakat pada masa kini. Rokok daun Nipah dibuat dari daun Nipah yang diproses secara baik dan cermat sehingga menghasilkan aroma dan rasa.
Manisan
Manisan Kg Jenang juga dikenali dengan nama Gula Tuak merupakan salah satu sumber gula yang banyak terdapat di Kg Jenang. Gula ini diperbuat dari air nira kelapa. Kemanisan dan kehalusan manisan Kg Jenang asli berbeza dengan gula tiruan yang banyak terdapat di pasaran kini.
Sekolah Beruk
Satu tarikan yang menarik terdapat di Kg Jenang adalah Sekolah Beruk yang diuruskan oleh Encik Muda Bin Mamat. Beruk-Beruk ini akan digunakan untuk memetik buah kelapa di sekitar kampong tersebut. Kelebihan Beruk ialah mampu memanjat dan memetik kelapa setinggi 20 meter berbanding dengan tenaga manusia.
Untuk ke kampung Jenang, pengunjung hanya perlu menaiki perkhidmatan bot selama satu jam dari jeti Marang.
No comments:
Post a Comment