Monday, June 14, 2010
Felda Residence
LOKASINYA strategik dikelilingi destinasi pelancongan menarik serta menghadap Sungai Terengganu memberi kelebihan kepada Felda Residence menggamit pelancong menginap di resort itu.
Hotel 20 tingkat setinggi 105.8 meter dari aras laut ini terletak di antara Kampung Cabang Tiga dan bandar Kuala Terengganu.
Kedudukan strategik itu berhampiran dengan Kampung Cina yang mendapat jolokan 'China Town' sesuai bagi pelancong menyelami kehidupan penduduk di Kuala Terengganu yang berbilang kaum.
Mula beroperasi pada 3 Julai 2008, resort bertaraf tiga bintang itu menyediakan pelbagai kemudahan setanding hotel lain.
Ia turut menyediakan D'River Terrace berlatar belakang Sungai Terengganu dan dilengkapi dua skrin gergasi bagi memeriahkan kempen bola sepak Piala Dunia.
Pakej 'Lebih Baik Dari Sebelumnya' bermula 16 April sehingga 30 Jun ini mendapat sambutan baik pelanggan.
Pengurus Pemasarannya, Fadzly Hamzah, berkata pakej itu menyediakan bilik serendah RM180 berbanding RM215 manakala bilik untuk dua orang hanya RM205 berbanding harga asal RM235.
"Pakej turut mengubah waktu mendaftar dari jam 12 tengah hari kepada 10 pagi manakala masa keluar dilewatkan kepada jam 3 petang.
"Pelanggan boleh berpindah ke bilik menghadap sungai tanpa caj atau bayaran tambahan asalkan bilik berkenaan kosong," katanya.
Katanya, pelanggan boleh menaiki bot daripada jeti hotel ke TTI setiap hari selain berkunjung ke syurga keropok di Kampung Losong.
"Bagi kaki pancing, inilah masa untuk memancing ikan siakap putih di jeti berdekatan hotel atau membawa anak-anak bermain di Taman Water Front sambil menghirup udara petang dan melihat matahari terbenam," katanya.
Selepas penat bersiar di sekitar bandar raya, singgah sebentar di Serai Lounge untuk menikmati juadah bulanan hotel atau di Jintan Brasserie yang dibuka dari jam 10 pagi sehingga 9 malam.
Katanya, bagi Jun ini, Felda D'Saji menyediakan Sizzling Tendirroin Steak serta Sos Bombay selain jus buah dan ais krim tapai.
"Bulan depan, kami menyediakan menu, Rendang Tok, sesuai dengan ketibaan Ramadan," katanya.
Hotel itu mempunyai 100 bilik, satu Premier Suite dan Executive Suite, dua Suite dan bakinya Premier Deluxe dan Deluxe.
"Kami turut menyediakan kemudahan dewan bagi agensi korporat atau badan kerajaan dengan bayaran RM70 untuk seorang termasuk dua kali (tea break) tetapi tidak termasuk penginapan di hotel," katanya.
Walaupun tergolong dalam kumpulan hotel baru, ia calon dalam kategori Perkhidmatan Hotel Tiga Bintang Terbaik 2009.
Maklumat lanjut mengenai Felda Residence, hubungi talian 09-6321111.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment