Thursday, June 24, 2010

MERANG SURIA RESORT: Cari damai di tepian pantai


HATI mana tidak tenang melihat keindahan alam, kicauan burung, air terjun dan udara segar di Merang Suria Resort di Kampung Rhu Tapai, Setiu, Terengganu.
Resort yang diuruskan Suria Resorts Management Sdn Bhd 100 peratus milik Bumiputera. Syarikat itu turut memiliki resort di Johor Bahru, Cherating dan London. Sekalipun lokasinya agak tersorok, jika tempatnya istimewa dan jarang diperoleh di tempat lain, pasti ia menjadi tumpuan pelancong.


Apabila bangun awal pagi, selak tirai bilik untuk melihat suasana sekitar yang diliputi kabus seperti awan tebal.


Cuba buka tingkap dan hiruplah udara sepuas hati sambil menikmati dendangan unggas dan kicauan burung. Pengarah Eksekutif Suria Resorts Management Sdn Bhd, Nor Dalina Khalil, berkata kawasan itu anugerah Ilahi kepada manusia terutama mereka yang cintakan alam semula jadi, keindahan, suasana sunyi dan mendamaikan. Beliau berkata, sejak dibuka pada 2005, pihaknya menerima banyak tempahan termasuk pelancong dari Singapura yang gemar suasana alam semula jadi.


“Ada juga yang menginap di resort ini sebelum ke Redang untuk menikmati panorama laut dan pasir pantai,” katanya. Sempena cuti sekolah, pihaknya mengadakan promosi istimewa penginapan tiga hari dua malam berharga di antara RM230 hingga RM350. Anda boleh menikmati promosi stimbot pada hari minggu berharga RM25 (minimum dua orang) dan potongan 50 peratus untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.


Di resort itu, anda boleh melakukan aktiviti meneroka hutan, flying fox, berkayak dan berakit di Mengabang yang menyediakan kawasan lagun untuk air masin dan payau. “Selain kolam mandi dan pantai, kami menyediakan pakej lawatan ke Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Bidong untuk aktiviti snorkeling, menyelam dan memancing. “Jika berminat menunggang kuda, kami boleh menyediakan kemudahan itu dengan harga istimewa,” katanya. Pihaknya turut menyediakan pakej lawatan ke Tasik Kenyir selain mengunjungi Gua Bewah, air terjun Lasir dan Taman Herba. Jika mempunyai masa lapang, pengunjung boleh menjelajah perkampungan berhampiran untuk mencuba hidangan is timewa penduduk tempatan, antaranya ikan dan sotong celup tepung. Cuba sekali, anda pasti teringin datang lagi. Selepas penat meninjau di kawasan perkampungan, singgah sebentar di gerai menjual keropok lekor di Mengabang. Hidangan keropok lekor dengan cendol cukup menye lerakan. Ada juga gerai menjual keropok lekor, keropok kering dan makanan laut di sepanjang jalan di antara Merang dan Mengabang. Jika mahu maklumat lanjut, hubungi Suria Resorts Ma nagement Sdn Bhd di talian 03- 78064752, faksmili 03- 78064753, e-mel: sales@ suriaresorts.com atau laman web www.suriaresorts. com.

INFO
Bagaimana ke sini:
Dari bandar raya Kuala Terengganu, ikut ke Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Anda terus menghala ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Kemudian, ambil jalan Batu Rakit dan anda akan dapat melihat papan tanda Merang. Kawasan ini ber hampiran Terengganu International Endurance Park (TIEP). Jarak dari bandar Kuala Terengganu ke Merang ialah 47 kilometer.

MUZIUM NEGERI





Muzium Negeri Terengganu telah ditubuhkan pada tahun 1976 di bawah Enakmen Bil. 9 Tahun 1976. Penubuhan ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 28 Disember 1976 dan mula berkuatkuasa pada 1 November 1977.
Dari segi rentetan sejarahnya, hasrat dan cita-cita untuk menubuhkan Muzium Negeri ini tercetus sejak awal tahun 1920 an lagi natijah daripada peristiwa perjumpaan Batu Bersurat Terengganu di Kampung Buloh, Hulu Terengganu oleh Syed Hussein Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902. Peristiwa penemuan Batu Bersurat yang bersejarah ini telah melahirkan rasa kegembiraan dan rasa kesyukuran seluruh rakyat Negeri Terengganu pada waktu itu. Namun, masalah timbul kerana ketiadaan tempat untuk menyimpan batu bersejarah ini. Keadaan ini telah mencabar dan menyedarkan pimpinan negeri itu betapa pentingnya negeri ini mempunyai Muzium sendiri.
Ekoran daripada itu, Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah tiada pilihan selain memperkenankan Batu Bersurat itu dibawa ke Singapura untuk disimpan dan dipamerkan di Muzium Gambar Raffles pada tahun 1923. Menteri Besar Terengganu pada masa itu Dato’ Haji Ngah Mohd Bin Yusof telah bersetuju dengan surat jawapan daripada Penasihat British yang berbunyi :
" Maka apakala diadakan Muzium di dalam Terengganu kelak ataupun tempat lain yang munasabah bolehlah kerajaan mengambil balik pula pada bila-bila masa yang dikehendaki adanya "

Berikutan itu, kesedaran serta semangat untuk menpunyai Muzium sendiri semakin memuncak. Pada tahun 1955, Y.A.B. Dato’ Menteri Besar, Dato’ Haji Kamaruddin Bin Haji Idris ( Menteri Besar Terengganu ketika itu ), telah menubuhkan satu jawatankuasa serta membayangkan hasrat untuk mewujudkan Muzium di Negeri Terengganu. Jawatankuasa ini telah dianggotai oleh Y.B.M. Engku Pengiran Anom, Haji Mohd Salleh Bin Haji Awang, Cikgu Muhamad Akil Bin Atan serta Haji Wan Endut Bin Othman. Peranan utama jawatankuasa ini ialah untuk mengumpul dan memperolehi barang-barang lama dan bersejarah. Namun begitu, perjalananan jawatankuasa ini terbantut kerana masalah kewangan dan peruntukan undang-undang.

Kesinambungan daripada itu, pada 14 januari 1960, Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Andika Indera, Encik Ishak Bin Mohd Isa telah membuat satu perjumpaan dan hasilnya, satu persetujuan dicapai sebulat suara untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali dengan nama Jawatankuasa Barang Lama dan Sejarah Peringkat Negeri. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, manakala Allahyarham Dato’ Setia Jasa ( Dato’ Haji Mohd Saleh Bin Haji Awang ) berperanan sebagai Setiausaha. Serentak dengan itu, satu peruntukan telah diwujudkan di bawah kelolaan Jabatan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membeli barang dan koleksi warisan sejarah serta budaya negeri Terengganu. Kerja-kerja pengumpulan barang dan koleksi mula digiatkan mulai Julai 1960 dan ianya telah ditempatkan di dalam almari di satu sudut khas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jalan Cherung Lanjut, Kuala Terengganu.
Perkembangan yang positif ini telah mengorak langkah yang lebih luas lagi dan hasrat untuk mempunyai Muzium sendiri semakin mendapat perhatian dan sokongan Kerajaan Negeri . Pada 3 Febuari 1974, sebuah jawatankuasa untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan penubuhan Muzium Negeri telah dibentuk. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Wira Jaya, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada waktu itu. Dengan pembentukan jawatankuasa ini, hasrat untuk menubuhkan Muzium Negeri mula menampakkan bibit-bibit kejayaan khususnya apabila termaktubnya Enakmen Lembaga Muzium Negeri Terengganu ( Enakmen Bil 9/ 1976 ).
Pentadbiran Muzium Negeri terletak di bawah kuasa Bahagian Pentadbiran, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Pada tahun 1979, kerja-kerja pengumpulan dan perolehan barang-barang lama dan bersejarah diteruskan dengan lebih giat. Operasi dan fungsi muzium terus diperluaskan. Pada waktu itu, dua orang tokoh yang memainkan peranan yang penting di dalam mengemudikan perkembangan dan kemajuan Muzium Negeri ialah Allahyarham Dato’ Setia Jasa ( Dato’ Hj. Mohd Saleh Bin Awang ) dan Tuan Haji Othman Bin Haji Ali. Kerja-kerja penyelidikan, galicari dan pemuliharaan bangunan lama yang bersejarah telahpun dimulakan.
Era tahun 1980 an telah meningkatkan lagi perkembangan Muzium Negeri. Pada tahun 1981, seorang kurator telah dilantik untuk menerajui Muzium Negeri. Manakala menjelang tahun 1985, jawatan ini telah ditingkatkan kepada jawatan Pengarah.
Pada bulan April 1994, sekali lagi berlaku perubahan yang menarik di dalam sejarah Muzium Negeri. Ini kerana segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pameran telah berpindah ke ‘ rumah baru ‘, iaitu Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang terletak di kawasan seluas 27 hektar di Kg. Bukit Losong, Paloh, Kuala Terengganu.
MUZIUM Negeri Terengganu (MNT) di Bukit Losong, Losong, Kuala Terengganu mempunyai reka bentuk unit dan menarik kerana bangunannya diperbuat daripada kayu yang melambangkan tradisi masyarakat Melayu.

MNT di Bukit Losong, Losong, Kuala Terengganu mempunyai reka bentuk unit dan menarik kerana bangunannya diperbuat daripada kayu yang melambangkan tradisi masyarakat Melayu.

Muzium itu juga mempunyai landskap tersusun di mana kedudukan bangunannya yang dikelilingi pelbagai jenis tanaman menghijau manakala kedudukannya di atas bukit menjadi kawasan muzium itu mudah dilihat dari jauh termasuk dari jambatan Sultan Mahmud.

Deretan pokok palma dan kelapa di sepanjang jalan di kawasan muzium itu memberikan suasana teduh manakala di tempat meletak kereta pula terdapat sepohon pokok ketapang berusia lebih 100 tahun.

Kedudukan sebuah tasik buatan berhampiran laluan ke pintu masuk muzium turut mengindahkan suasana luaran muzium dengan diselitkan sebuah air pancut di tasik itu.

Sebuah jambatan kecil daripada kayu merentangi tasik itu untuk menghubungkan laluan ke bahagian dalam muzium.

Jambatan ini dibina dengan berbentuk melengkung manakala atapnya bertingkat supaya berseni dan menarik.

Sebuah garaj besar yang memuatkan kenderaan lama termasuk kereta yang digunakan sultan-sultan Terengganu terdahulu diletakkan di hadapan muzium bagi memudahkan pengunjung melihatnya dan bergambar kenangan.

Paling menarik ialah reka bentuk bangunan muzium daripada kayu dan diukir secara tradisional Melayu dan ia menggambarkan istana Kesultanan Melayu Terengganu zaman silam manakala tangga dan pagarnya daripada gabungan kayu dan batu.

Beberapa batang meriam lama diletakkan di beberapa tempat berhampiran bangunan muzium seolah-olah menggambarkan senjata untuk mengawal istana raja di zaman silam.

Kelihatan juga sebuah wakaf rehat yang dibuat dengan menggunakan kayu di tepi jalan menghala ke muzium.

Rimbunan pokok bunga kertas di sepanjang jalan turut mengindahkan lagi pemandangan landskap di bahagian luar muzium.Ini adalah kompleks muzium terbesar di Asia Tenggara, dengan menempatkan empat blok utama selain mempunyai muzium maritim dan lima rumah tradisional.

Ia dibina dengan landskap taman yang indah, dan mengembalikan kegemilangan Terengganu yang kaya dengan sejarah budaya yang kekal sehingga ke hari ini.

Terletak di atas 27 hektar tanah di Bukit Losong, Kuala Terengganu, kompleks ini menyerlahkan senibina yang menarik mendapat inspirasi dari istana lama di Terengganu.

Ia menempatkan sebuah muzium utama, muzium maritim, muzium perikanan, empat rumah tradisional, dan taman botani serta taman ulam.

Muzium utama mempunyai galeri yang mempamerkan tekstil, teknik anyaman, senjata tradisional, perkembangan petroleum, seni Islam dan banyak lagi.

Tips
Kaunter tiket terletak di Jeti Shahbandar, berhadapan Pejabat Pos Utama. Harga tiket ialah RM 5 seorang.

Pengangkutan

Kereta
Mereka yang ingin memandu sendiri ke Muzium, harus mengambil laluan ke Kampung Losong yang terkenal dengan pembuatan keropok lekor. Muzium itu dapat dilihat di atas Bukit Losong.

Bas
Hanya 15 minit perjalanan menggunakan bas dari stesen bas MBKT ke Muzium atau Losong.

Teksi
Dari Stesen Teksi Kuala Terengganu, perjalanan hanya 10 minit untuk ke muzium.



Talian Untuk Dihubungi
Pejabat Tourism Malaysia Negeri Terengganu, Tingkat 5, Menara Yayasan Islam Terengganu, Jalan Sultan Omar, 20300 Kuala Terengganu. Tel: +609-622 1433 / 1893 Faks: +609-622 1791



Penginapan
Terdapat pelbagai pilihan penginapan di sekitar Kuala Terengganu.

Wednesday, June 23, 2010

Desa Ukiran Kayu



Pembinaan Desa Ukiran Kayu (Duk) Adalah Manifestasi Kepada “Besut Daerah Ukiran Kayu” Yang Telah Di Istiharkan Pada 12 Ogos 1999 Iaitu Sebagai Pengiktirafan Ke Atas Pengukir - Pengukir Kayu Yang Tersohor Di Daerah Besut Seperti Che Long Bin Yusof, Tengku Ibrahim Bin Tengku Wook (Tokoh Kraf Negara 1999) Hj Wan Su Bin Othman (Tokoh Seni Negara 1997) Abd.Rahman Long , Wan Mustaffa Wan Su (Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003, Adiguru Kraf 2007) Dan Norhaiza Bin Nordin.

Desa Ukiran Kayu Di Bina Di Kawasan Istana Tengku Long Yang Di Bina Oleh Tengku Chik Haji Bin Tengku Hitam , Raja Besut Ke Empat Pada Tahun 1875. Istana Ini Di Bina Dengan Di Hiasi Oleh Ukiran Kayu Yang Menarik Dan Mengagumkan.

Desa Ukiran Kayu Ini Merupakan Senibina Rumah - Rumah Baru Dan Lama Yang Mengekalkan Senibina Tradisional Untuk Pusat Dinamik Perusahaan Kraftangan Terutamanya Seni Ukiran.Desa Ukiran Kayu Ini Di Bina Pada Awal Tahun 2005 Dan Siap Pada Bulan Jun 2007 Serta Dibuka Dengan Rasminya Pada 21 Februari 2008.


Sumber Daripada: desaukirankayu.blogspot.com

Pulau Perhentian







Latarbelakang

Pulau Perhentian terletak lebih kurang 10.8 batu nautika (20 km) ke Timur Laut Kuala Besut. Pulau ini terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Besut.

Gugusan Pulau Perhentian merangkumi:
a) Pulau Perhentian Besar
b) Pulau Perhentian Kecil
b) Pulau Susu Dara dan pulau-pulau kecil yang lain.

Keluasan keseluruhannya adalah 1, 392.15 hektar. Terdapat kawasan pantai berpasir yang agak luas walaupun secara keseluruhannya diliputi oleh kawasan berbukit dan tebing di mana boleh mencapai setinggi 70 km hingga 300 km.

Kemudahan Awam Dan Infrastruktur

Hampir kesemua kemudahan awam terdapat di kawasan penempatan penduduk iaitu di Pulau Perhentian Kecil. Antara kemudahan yang disediakan ialah tadika, sekolah rendah, masjid, balairaya, pondok polis, klinik kesihatan, wakil pos, bomba rakyat, kawasan perkuburan, kedai Mara 2 tingkat dan perkedaian.

Kemudahan lain yang disediakan ialah Jeti awam di Teluk Pauh, Teluk Keke dan Jeti Utama di kawasan perkampungan. Bersesuaian dengan status perairan Pulau Perhentian sebagai Taman Laut pula, Jabatan Perikanan telah membina sebuah Pusat Taman Laut bagi menempatkan kakitangan untuk mengawal pengairan di samping menyedia kemudahan informasi.
Keadaan Semasa

Gunatanah Utama Pulau Perhentian ialah penempatan pelancongan dan kawasan hutan. Terdapat hanya sebuah kawasan penempatan iatu di kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Kawasan penempatan ini seluas 9.87 hektar. Penempatan ini telah telibat dengan Program Penyusunan Semula Kampung nelayan Tradisional. Melalui program ini, pembinaan rumah dilaksanakan secara lebih teratur. Jumlah penduduk di Pulau Perhentian ialah kira-kira 1,300 orang dengan hampir 80% terlibat dengan sektor pelancongan, 20% di sektor awam dan perniagaan runcit.

Kawasan-kawasan pelancongan tertumpu di sekitar Teluk Pauh, Pasir Jong, Teluk Keke dan Teluk dalam di Pulau Perhentian Besar, manakala di Pulau perhentian Kecil tertumpu di Pasir Panjang, Teluk Kerma, Teluk Aur serta di beberapa tempat di pantai sebelah timur.

Sebahagian besar di kedua-dua pulau ini masih diliputi hutan dara dengan spesis pokok seperti Cengal, Balau, Bitangor Laut, Kelat Laut dan Rhu.

Laut di sekitar pulau pula terdapat batu karang terutamanya di Pantai Tiga Ruang, Teluk Dalam, Tanjung Tukas laut, Teluk Kerma dan di kawasan perairan antara Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Mengikut kajian yang dijalankan, lima puluh spesis batu karang telah ditemui di sekitar Pulau Perhentian. Di sesetengah tempat pula boleh didapati dua puluh jenis batu karang lagi setiap 200 meter persegi kawasan laut.

Selain itu enam pantai berpasir di Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan Penyu Karah dan Penyu Agar bertelur iaitu di Tanjung Gantung dan Pasir Pengalau di Pulau Perhentian Kecil juga di Pasir Tiga Ruang, Tanjung Tiga Ruang, Tanjung Tukas Laut dan Tanjung Pinang Seribu di Pulau Perhentian Besar. Terdapat juga spesis burung layang-layang (Walet) yang membuat sarang burung di gua-gua sekitar Teluk Batu Tabir dan Gua Buaya.
Bekalan Air

Punca utama bekalan air di Pulau Perhentian adalah dari air bawah tanah iaitu dari Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar. Perkhidmatan bekalan air SATU hanya tertumpu di kawasan petempatan di Pulau Perhentian Kecil. Bagi pusat-pusat pelancongan lain mendapat bekalan air dari bawah tanah di sekitar kawasan masing-masing. Secara keseluruhan bekalan air tidak mencukupi terutama di musim kemarau

Bekalan Elektrik

Bekalan elektrik TNB juga hanya terdapat di kawasan petempatan di Pulau Perhentian Kecil dengan perkhidmatan 24 jam. Bagi kawasan pelancongan, bekalan elektrik adalah menggunakan "Janakuasa Persendirian" dan kebanyakannya tidaka dapat menyediakan bekalan elektrik 24 jam.

Sistem Pengangkutan

Sistem pengangkutan laut dengan bot adalah nadi utama pengangkutan di antara Pulau Perhentian dan Tanah Besar. Terminal jeti pelancongan utama di Tanah Besar terletak di Kuala Besut. Terminal yang bernilai hampir RM 3 juta ini mula beroperasi pada awal tahun 1998 untuk kemudahan pelancong untuk menunggu dan menaiki bot, kaunter tiket, menjual barang-barang kraftangan, kedai makan dan sebagainya.

Perhubungan jalan darat antara petempatan dan kawasan pelancongan ialah laluan pejalan kaki melalui denai yang sememangnya menjadi kegemaran pelancong luar negeri merentasinya. Selain itu terdapat juga bot kecil yang dipanggil 'teksi' digunakan untuk membawa penumpang ke lokasi pelancongan.

Pelupusan Sampah

Majlis Daerah Besut mula mengadakan khidmat pungutan sampah mulai tahun 1997. Pemborong yang dilantik memungut sampah di kawasan petempatan dan pelancongan seterusnya dibawa ke Tanah Besar untuk dilupuskan di tapak pelupusan sampah. Kerja-kerja pengutan sampah ini beroperasi daripada bulan Februari hingga Oktober setiap tahun.


Potensi Pelancongan

Terdapat lebih kurang 1,000 buah bilik penginapan dari 42 buah pengusaha chalet dan resort dalam pelbagai kategori termasuk Pusat Peranginan Mewah, Chalet bertaraf sederhana dan rendah, Dorm serta kawasan perkhemahan dengan kadar sewa antara RM 50 hingga RM 300 sehari.

Kejernihan air laut serta kepelbagaian hidupan marin selain daripada kesesuaian tempat menjadikan pusat pelancongan ini popular dengan aktiviti-aktiviti snorkeling, soating, perkhemahan dan melihat penyu bertelur.

Keaslian dan keindahan alam sekitar semulajadi yang belum terjejas seperti laut daratan, pasir dan batu, gua, bukit-bukit, hutan dan tumbuhan semulajadi memungkinkan pelbagai aktiviti dapat dijalankan seperti jungle tracking, penyelidikan dan sebagainya.

Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan pelancong untuk aktiviti scuba diving dan sijil yang dikeluarkan adalah diiktiraf di peringkat dunia.

Penglibatan aktif sama ada secara langsung dan tidak langsung penduduk tempatan dalam industri pelancongan dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk di Pulau Perhentian dan secara tidak langsung menggerakkan aktiviti-aktiviti hiliran dalam sektor perkhidmatan di pulau ini.

Pantai Dendong


cantik kan..

Pantai Dendong sebagai Bandar Bistari yang melibatkan kawasan seluas 1,600 hektar dalam keadaan semulajadi serta kedudukan yang strategik dalam lingkaran pelancongan persisiran pantai.

Komponen warna kehijauan dedaun dengan warna keemasan pepasir sudah cukup untuk menenangkan jiwa yang menikmatinya. Disini juga terdapat sebuah bukit yang amat menarik pandangan pelancong. Di sini, turut disediakan pelbagai kemudahan untuk para pengunjung. Keindahan pantainya amat mengasyikkan sesiapa sahaja selain masih mengekalkan kehijauan.

Selain Pantai Air Tawar, Pantai Dendong juga menjadi destinasi percutian ataupun beriadah bersama-sama keluarga dihujung minggu. Sementelah jarak antara kedua-dua destinasi perkelahan ini tidak jauh dan mempunyai tarikan masing-masing.
Related Posts with Thumbnails