Sunday, August 15, 2010

Primula Beach rai anak yatim, warga emas


Tina Surinda, menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim Rumah Darul Hilmi dan warga emas Rumah Sejahtera pada majlis berbuka puasa di Hotel Primula

KUALA TERENGGANU 13 Ogos - Ramadan bukan sahaja bulan ibadah sebaliknya menjadi sebahagian agenda beberapa syarikat korporat untuk berkongsi kemeriahan dan meneruskan tanggungjawab sosial.

Hotel Primula Beach di sini tidak ketinggalan membuat amalan sama dengan meraikan 20 anak-anak yatim dan lapan warga emas di hotel berkenaan semalam.

Kesemua 20 anak yatim itu adalah penghuni Rumah Darul Hilmi di Teluk Ketapang, Seberang Takir di sini dan lapan warga emas dari Rumah Sejahtera Bukit Payong, Marang.

Selain diraikan pada majlis berbuka puasa, anak-anak yatim tersebut turut menerima duit raya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Primula Beach Hotel, Tina Surinda ketika ditemui berkata, program itu merupakan acara tahunan yang membuktikan keprihatinan pihaknya kepada golongan tersebut terutama ketika Ramadan.

"Tiada apa yang lebih menggembirakan kita melainkan apabila membuatkan anak-anak yatim ini bergembira," katanya.

Tambahnya, pada 26 Ogos ini, pihaknya akan mengagihkan bubur lambuk di tempat letak kereta hotel berkenaan serta menganjurkan sambutan Aidilfitri bersama anak-anak yatim dan warga emas.

Thursday, August 12, 2010

Ubi gadung dikomersialkan


wakil UniSZA, Tengku Farizan Che Ku Jusoh menunjukkan muffin yang diperbuat daripada ubi gadung yang dihasilkan oleh UniSZA, ketika pameran di Karnival Inovasi di Pusat Dagangan Terengganu baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 10 Ogos – Gadung? Mungkin hanya segelintir anak muda masa kini yang pernah mendengar perkataan itu dan mengetahui atau melihatnya.

Ia sejenis ubi yang lebih dikenali oleh orang-orang tua ketika mereka melalui zaman sukar dan menjadi sebutan mereka apabila mengimbau waktu silam.

Bahan beracun itu yang turut dijauhi binatang itu diolah dan diproses menjadi sajian makanan yang enak bagi menggantikan makanan ruji, namun ia bukanlah kerja yang mudah.

Di negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu beberapa dekad lalu, ubi yang telah diproses dan dijadikan makanan masih boleh dibeli di pasar-pasar tertentu tetapi kini sukar dicari.

Ubi gadung adalah tumbuhan liar yang mudah kedapatan di hutan-hutan kecil dan ia menjalar dan memanjat pokok-pokok lain.

Ia boleh memanjang hingga 20 meter dengan batangnya yang berduri manakala isinya membesar di dalam tanah.

Langkah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini untuk menjalankan penyelidikan menyeluruh tentang potensi tumbuhan ini untuk dikomersialkan terutamanya sebagai bahan perubatan, kecantikan dan makanan ternyata menarik perhatian.

UniSZA merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam di wilayah ECER yang dipertanggungjawabkan dengan beberapa Pusat Kecemerlangan termasuklah pusat produk halal wilayah dan pusat herba serta bioteknologi.

Bagi menjayakan penyelidikan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadung UnisZA dan kerajaan negeri ditandatangani di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah dan UnisZA pula oleh Naib Canselornya, Datuk Prof Dr. Alias Daud dengan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Justeru tidak mustahil suatu hari kelak, orang ramai memilih tepung ubi gadung untuk membuat kuih muih, makanan ringan sebagai ganti tepung gandum atau pulut hasil daripada penyelidikan itu kelak.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said melahirkan keyakinannya bahawa ubi gadung berpotensi untuk dikomersialkan dan kerajaan bersedia memberi peruntukan RM2 juta kepada UnisZA secara berperingkat untuk meneruskan kajian terhadap tanaman tersebut selama dua tahun.

‘‘Saya difahamkan terdapat sejenis bahan di dalam kandungan ubi gadung yang dipercayai steroid di dalam bentuk gula di mana mampu menyahkan toksin di dalam badan selain menghalang pembekuan darah serta boleh dijadikan pil pencegah kehamilan. Ini sebahagian daripada potensinya.

“Setakat ini tiada perancangan penanaman secara besar-besaran, namun melalui projek perintis, ia akan ditanam secara pertanian ladang dengan kerjasama Jabatan Pertanian,” ujarnya.

Penyelidikan bakal melibatkan 10 projek utama yang diterajui oleh 20 penyelidik terdiri daripada pensyarah, pelajar pasca siswazah dan pegawai sains dari universiti itu.

Ia meliputi penyelidikan agronomi, etnobotani, morfologi, anatomi, taksonomi germplasm, pembiakbakaan, penyaringan fitokimia, pencarian kimia seni, biopesticle, teknologi in-vitro, sifat anti bakteria dan anti imflamasi, pengendalian lepas tuai, kejenteraan dan pengkormesialan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Abd. Manaf Ali berkata, ia sebagai usaha UniSZA dalam membantu projek huluan dan hiliran yang bakal memberi faedah secara langsung kepada penanam (huluan) dan secara tidak langsung menyediakan maklumat sokongan kepada kerajaan ke arah perkembangan tanaman dan produk baru bagi negeri ini.

Katanya, bagi tujuan peringkat awal ini, pihaknya memulakan kajian terhadap bidang agronomi iaitu kaedah penghasilan tanaman ubi gadung secara produktif.

“Jika dulu masyarakat hanya dapat menemui ubi gadung jauh di dalam hutan dan ia dapat ditemui sekali setahun iaitu pada musim hujan namun kini UniSZA dalam usaha memproduktifkan tanaman ini dengan menghasilkan tanaman itu dalam tempoh tiga hingga enam bulan sahaja melalui tambahbaik benih dan kaedah penanaman sistematik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Abd. Manaf memberitahu, semenjak kajian itu dimulakan kira-kira dua minggu lalu, penyelidikan kandungan ubi gadung itu menunjukkan ciri-ciri ‘biopesticide’ yang baik iaitu menunjukkan ia mempunyai potensi besar dalam menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.

“Mengikut kebiasaannya, ubi ini yang diricis perlu direndam selama tiga hari di dalam air yang mengalir iaitu seperti air sungai bagaimanapun ia mengambil masa terlalu lama bagi pengusaha produk makanan jika mahu memproses ubi ini untuk dijadikan produk makanan,” ujarnya.

Justeru itu, UniSZA akan mengkaji secara mendalam tentang kaedah yang lebih baik menggunakan teknologi moden seperti membuat kajian untuk sekilogram ubi itu perlu melibatkan berapa banyak air dan berapa banyak toksin daripada ubi itu dapat dinyahkan.

“Dalam menjayakan usaha itu, kita telah mempunyai makmal sedia ada kira-kira empat tahun lalu iaitu yang terletak di UniSZA Kampus Kota dengan kos RM14 juta di mana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden.

“Selain itu, kita juga mendapat sokongan daripada wilayah ECER yang telah dipertanggungjawabkan dengan pembinaan Pusat Kecemerlangan termasuk peruntukan sebanyak RM500,000 untuk Pusat Produk Halal Wilayah dan Pusat Herba dan Bioteknologi,” ujarnya.

Wednesday, August 11, 2010

RAMADHAN DATANG LAGI



Yahooo…bestnye.emm..maaf ya happy sangat ni. Oh! Ya umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa mulai esok sebagaimana yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja – Raja sebentar sahaja tadi.
Tarikh puasa 1 Ramadhan 1431 mengikut kiraan falak adalah jatuh pada 11 Ogos 2010 (Rabu) dan tarikh untuk Hari Raya Puasa pula jatuh pada 10 September 2010 (Jumaat)
Adi ingin mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada pembaca sekelian.

Sunday, August 8, 2010

MAHA 2010 Terengganu tarik ramai pengunjung




Orang ramai mengunjungi khemah-khemah pameran dan jualan di MAHA 2010 di Dataran Shahbandar

KUALA TERENGGANU 6 Ogos - Penduduk Kuala Terengganu mula membanjiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 Terengganu di Dataran Shahbandar di sini yang bermula hari ini.

Mereka juga mengunjungi pelbagai hasil pertanian, hortikultur dan agro pelancongan yang sinonim dengan Terengganu di pameran mini yang berlangsung sehingga 9 Ogos ini.

Selain itu, kira-kira 100 gerai pameran yang disertai wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan serta pelbagai usahawan turut mengambil tempat pada MAHA 2010 Trengganu ini.

Seorang pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi di sini, Wan Shahayah Wan Ahmad, 20, berkata, gerai pameran yang terdapat di sini amat menarik dan berlainan daripada pameran atau karnival lain.

"Saya amat tertarik dengan pelbagai minuman buah-buahan yang dapat membantu kesihatan selain produk minuman daripada sarang burung," katanya ketika ditemui.

Seorang surirumah, Tengku Khatijah Tengku Long, 40, berkata, tiga anaknya berusia tujuh hingga sembilan tahun amat tertarik dengan pameran pertanian di situ.

"Kami pada mulanya datang ke Dataran Shahbandar bawa anak- anak berjalan-jalan dan tidak sangka pameran ini diadakan.

"Sebelum ini, mereka tidak pernah lihat lembu besar dan kambing jamnapari kerana biasanya mereka hanya lihat lembu dan kambing biasa di kampung," katanya yang tinggal di Batu Burok di sini.

Seorang lagi pelajar, Rubiah Omar, 20, berkata, dia masih belum melawat semua pameran tetapi mendapati banyak maklumat terbaru mengenai bidang pertanian.

"Saya hendak mengikuti bidang pertanian nanti dan pameran ini memberikan saya maklumat berhubung bidang ini," katanya.

Friday, August 6, 2010

Ahmad Said antara 7 penerima darjah kebesaran Terengganu



Tujuh penerima hari ini dianugerahkan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-48 Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin pada istiadat yang berlangsung di Istana Maziah di sini.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail.
Pada istiadat itu, Tengku Seri Temenggong Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud yang juga adinda Tuanku Mizan menerima Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (SSMT) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, menerima Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang juga membawa gelaran Datuk Seri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah, pula dianugerahkan Darjah Dato' Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) yang membawa gelaran Datuk.

Empat orang dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka terdiri Mufti Terengganu, Dr Alias Abdullah; Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Osman Muda; pegawai Pejabat Sultan Terengganu, Mohd Yasin Awang; dan peguam, Zamani Mohamad.
Related Posts with Thumbnails