Friday, July 30, 2010

Kesenian Islam perlu diperluaskan

HULU TERENGGANU 29 Julai - Kepelbagaian sumber alam dan ekosistem Tasik Kenyir di sini merupakan sumber tidak ternilai dan perlu diuruskan secara mampan supaya memberi manfaat berterusan.

Atas alasan itu, kerajaan negeri Terengganu melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengambil inisiatif dengan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menubuhkan sebuah pusat penyelidikan di tasik buatan manusia tersebut.

Pusat penyelidikan tersebut akan bertindak sebagai sebuah pusat pengumpulan data saintifik bagi flora, fauna dalam ekosistem perairan dan kawasan persekitaran tasik seluas 38,000 hektar tersebut.

Ia juga akan membantu mempelbagaikan hidupan ikan di tasik buatan manusia di Hulu Terengganu itu.

Kepelbagaian ikan yang hidup di tasik berkenaan turut menarik 'kaki pancing' untuk melakukan aktiviti rekreasi berkenaan di sana.

Selain itu, tasik tersebut turut menempatkan Santuari Kelah di Sungai Petang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pusat penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu akan dibangunkan di sebuah kawasan seluas 20 hektar di kawasan teluk tasik berkenaan.

''Pusat penyelidikan ini akan bertindak sebagai pusat pengumpulan data santifik flora dan fauna, ekosistem perairan dan kawasan persekitaran tasik sekali gus menjadikan Tasik Kenyir sebagai makmal lapangan untuk penyelidikan dalam bidang akuakultur, tumbuhan, haiwan, tanah dan airnya.

''Ia juga akan membantu kita menambah kepelbagaian hidupan ikan yang bersesuaian di Tasik Kenyir dan menjadikan ia sebagai syurga pemancing pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Penyelidikan Tasik Kenyir UMT hari ini yang turut dihadiri Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.

Ahmad berkata, antara spesis ikan yang akan diperbanyakkan termasuk ikan lampam dan kelah.

Dalam pada itu, Aziz berkata, maklumat hasil penyelidikan di pusat itu juga boleh menyokong usaha Ketengah menjadi Tasik Kenyir sebagai pusat pelancongan pendidikan untuk ekosistem hutan tropika.

''Saya berharap maklumat dan penyelidikan UMT ini akan membantu memantapkan usaha Ketengah untuk memelihara kawasan Tasik Kenyir dan persekitaran," ujarnya.

Beliau memberiahu, pusat penyelidikan tersebut dijangka dimulakan pada awal tahun depan dengan pembinaan fasa pertama itu akan memerlukan peruntukan kira-kira RM5 juta.

Beliau menambah, ia akan dilengkapkan dengan makmal untuk pengajian sosioekonomi bagi masyarakat setempat dan orang asli, makmal sains akuatik serta makmal biodiversiti tumbuhan dan biodiversiti.

''Pelbagai infrastruktur lain juga akan dibina seperti kemudahan penginapan. tapak perkhemahan, kemudahan utiliti, jeti dan tempat simpanan bot, surau dan tempat simpanan minyak," ujarnya.

Aziz memberitahu, sebuah bangunan pembenihan dan kemudahan kolam serta tapak semaian akan dibina di Sungai Petang, Tasik Kenyir,

''Ia dibina untuk menyokong kajian pengeluaran benih ikan kelah serta ikan air tawar lain dan pembiak bakaan tanaman dan buah-buahan nadir," ujarnya.

Katanya, dengan wujudnya pusat penyelidikan itu, ia akan berperanan menghasilkan benih-benih ikan dan tumbuhan yang diancam kepupusan seperti ikan kelah.

''Ini secara tidak langsung membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan program pemeliharaan dan pemuliharaan sumber semulajadi," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kepelbagaian hidupan di darat di tasik berkenaan juga akan dijadikan sebagai kawasan penyelidikan untuk para pelajar universiti berkenaan.

''Pusat penyelidikan ini akan menjadi tempat latihan amali dan pengajaran kepada pelajar UMT yang mengikuti bidang pengajian perikanan, akukultur, biodiversiti, agroteknologi dan pengurusan," katanya.

Sunday, July 25, 2010

PERTANDINGAN MELUKIS CITRA TERENGGANU



pertandingan-melukis-citra-terengganu-2010

Saban tahun Mezium Negeri Terengganu sering mengadakan pertandingan melukis yang diberi nama Pertandingan Melukis Citra Terengganu. Pertandingan ini dibuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan hadiah yang ditawarkan amatlah lumayan! Jom semak keterangan lanjut:

PENGENALAN

Negeri Terengganu kaya dengan warisan sejarah dan budaya. Pancaran seni dan budayanya kini sedang diperkasakan oleh pihak Muzium Negeri Terengganu. Selaras dengan fungsi dan peranan muzium, aktiviti kesenian tradisi sedang giat diaktifkan semula.Sesuai dengan hasrat untuk mermartabatkan warisan sejarah dan budaya negeri, pihak Muzium Negeri Terengganu menganjurkan satu pertandingan melukis sebagai satu wadah untuk menonjolkan citra negeri dalam bentuk lukisan. Pertandingan ini akan bermula pada 1 Feb hingga 2 ogos 2010.

OBJEKTIF PROGRAM

Program pertandingan ini diadakan dengan beberapa tujuan sebagaimana berikut:-

  • Untuk memupuk semangat cintakan warisan sendiri
  • Untuk memberi pendedahan kepada generasi muda tentang citra negeri
  • Untuk menyokong penghayatan dengan memberikan peluang dan ruang aktiviti kepada pelukis- pelukis tanah air.
  • Mempertingkatkan mutu karya dari masa ke semasa melalui penganjuran yang bersifat tahunan.
  • Mengisi program muzium ke arah memperkasakan warisan

MAKLUMAT PERTANDINGAN

i. Peserta

Terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia.

ii. Tarikh dan Tempat

Pertandingan diadakan bertempat di Perkarangan Muzium Maritim, Kompleks Muzium Negeri Terengganu (bagi kategori spontan). Tarikh pertandingan ialah pada 31 Julai – 2 ogos 2010 bagi kategori I dan Ahad 1 Feb hingga Ahad, 18 Julai 2010 bagi kategori II (terdapat 2 kategoti yang berbeza).

Hadiah

Dari RM5,00 hingga RM12,000 untuk dimenangi oleh 36 orang. Jumlah keseluruhan hadiah ialah RM73,500

Transkripsi Tema.

Citra Terengganu – merujuk kepada gambaran dan imej khusus tentang perilaku, aktiviti manusia , kehidupan lain yang menjadi lambang, simbol atau ikon yang merujuk kepada kehidupan berbudaya masyarakat Terengganu dan persekitarannya merangkumi aspek pemikiran seperti pengetahuan, kepercayaan, kesenian, undang-undang, moral serta apa jua yang diwarisi dari dulu hingga kini menerusi sejarah dan budaya yang diterima pakai , diakui telah menjadi budaya dan imej Negeri Terengganu.

Contoh:

  1. Kehidupan nelayan dan aktivitinya
  2. Penyu dan hidupan laut
  3. Perahu dan bot nelayan
  4. Kesenian seperti ukiran, ulik mayang dan rodat

Terengganu Dalam Kenangan merujuk kepada peristiwa, aktiviti, gerak, perilaku manusia, landskap, monumen dan persekitaran yang merangkumi perkisahan lisan, mitos, lagenda melalui bukti, fakta atau imaginasi yang berlaku pada masa lalu yang diterimapakai serta diakui menerusi rakaman sejarah dan budaya di Negeri Terengganu.

Contoh-contoh peristiwa dan monumen

  1. Lawatan Munshi Abdullah di Kuala Terengganu - pertengahan abad ke 19
  2. Peristiwa Sam Po Kong di Jeram – abad ke 16
  3. Perang Besut – 1870 an
  4. Bah Merah – 1926/27
  5. Orang Hanyut Vietnam Pulau Bidong – 1975
  6. Pelabuhan Kuala Terengganu – abad ke 16
  7. Pelabuhan Foloan – abad ke 12
  8. Kota Lama, Kuala Terengganu – 1730an
  9. Kota Batang Mahang, Tg Baru, Kuala Berang – 1708


Friday, July 23, 2010

Perhentian tangga kelima

Pulau Perhentian adalah salah satu pulau di dunia yang sangat indah dan cantik menurut Lonely Planet, firma panduan pelancong terbesar di dunia.
Air yang membiru, pasir yang memutih, pengalaman merentas hutan yang menyeronokkan, menyelam dan aktiviti kesukaan ramai iaitu berjemur di bawah sinaran matahari hanyalah antara beberapa perkara yang boleh dialami dan di rasai di Pulau Perhentian. Ini kerana banyak lagi yang boleh diterokai di Pulau Perhentian sehingga melayakkannya tersenarai di tangga kelima untuk Best Beach to Swing a Hammock dalam 1,000 Ultimate Experiences 2010.


Pulau Perhentian yang bermaksud 'pulau laluan hentian' terbahagi kepada dua pulau iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil.


Dengan dikelilingi hutan hujan tropika dan pokok palma yang tumbuh subur di pesisir pantai, Pulau Perhentian ibarat sebuah pulau yang sangat suci tanpa gangguan dan juga tanda perdagangan.


Antara kedua-dua pulau, Pulau Perhentian Kecil amat sesuai dengan backpackers di mana mereka akan menemui pelbagai pakej menarik yang sesuai dengan bajet terutama untuk penginapan dan makanan.


Pulau Perhentian Besar pula lebih menawarkan penginapan dan kemudahan yang mewah.


Terletak berdekatan dengan Taman Laut Pulau Redang, Perhentian mempunyai terumbu karang yang cukup cantik dan menjanjikan pemandangan mempesona yang sesuai untuk aktiviti 'snorkeling' serta selam skuba.


Selain dua aktiviti yang popular itu, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti mengelilingi pulau atau menyewa bot kecil untuk meneroka teluk swasta yang cantik memukau.


Kunjungan anda ke situ pasti memberi pengalaman yang cukup bermakna dan meninggalkan 1001 kenangan terindah.

>>BAGAIMANA KE SINI:
Pengunjung boleh menaiki bot di Jeti Kuala Besut di antara Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu untuk sampai ke Pulau Perhentian.

SUMBER : http://www.hmetro.com.my/

Thursday, July 22, 2010

Piala Seri Iman kembali

MATLAMAT untuk terus melahirkan pelapis baru dan memberi peluang kepada pereka mencetuskan idea segar dalam industri batik dan kraf, menjadikan kerajaan negeri Terengganu menganjurkan pertandingan reka corak batik bagi merebut Piala Seri Iman 2010.
Pertandingan kali kelima penganjurannya itu juga diadakan sejajar dengan perkembangan seni batik dan fesyen semasa sejajar arus permodenan hari ini.
Pertandingan berkenaan memberi inspirasi kepada peserta dan pereka fesyen batik menghasilkan rekaan terbaru dengan gabungan idea dan elemen moden tanpa menjejaskan identiti tradisional warisan tempatan.

Sebagai kelainan, peserta perlu mengikut tema iaitu Khazanah Kenyir, berbanding sebelum ini hanya menekankan elemen semula jadi saja.

‘Khazanah’ bermaksud barang kepunyaan atau kumpulan lama, tetapi masih tetap berguna sementara ‘Kenyir’ pula adalah tasik buatan keluasan 38,000 hektar yang mempunyai himpunan lukisan alam semula jadi utuh terpelihara.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Rekaan Cemerlang Terengganu atau Terengganu Institute of Design Excellence (TiDE), Prof Madya Sulaiman Abdul Ghani, berkata tema berkenaan dipilih bertujuan membuka minda peserta dalam mempelbagaikan reka corak dalam batik, songket dan kraf.
“Elemen menerusi khazanah Kenyir yang kaya dengan tumbuhan alam fana antaranya boleh mendapat inspirasi dari air terjun, haiwan, flora, serangga, pemandangan, tekstur halus serta tumbuhan liar yang terdapat di keliling Tasik Kenyir.

“Ciri semula jadi itu boleh digunakan sebagai sumber inspirasi, tetapi perlu mengolah rekaan itu kepada sifat lebih kreatif,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Piala Seri Iman 2010 dan Logo Batik Tulen Terengganu di Hotel Ritz Carlton, di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis itu dilancarkan oleh Ahli Exco Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Usahawan dan Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohamed Awang Tera dan Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Batik Terengganu, Mohd Zahari Zakaria.

Sulaiman berkata, pertandingan kali ini diadakan mengikut kategori yang dipertandingkan semula seperti kategori Rekaan Fesyen Batik, Reka Corak Batik, Reka corak Batik Blok, Rekaan Ukiran Kayu dan Reka Corak Songket.

Ganjaran diterima peserta juga berbeza daripada tahun lalu, iaitu untuk tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM30,000 berbanding RM15,000 pada tahun sebelumnya selain sijil penyertaan dan jambangan bunga.

Tempat kedua pula, pemenang akan menerima RM15,000 (berbanding RM13,000 tahun lalu), sementara tempat ketiga pula kekal pada jumlah wang tunai sama iaitu RM10,000. Tempat keempat hingga ke-10, mereka berpeluang membawa pulang RM2,500 berbanding hanya RM2,000, sebelum ini.

PSI tidak hanya mencari pemenang saja sebaliknya turut memberi pengiktirafan dengan menyediakan anugerah tambahan iaitu Persembahan Terbaik yang bakal menerima wang tunai RM2,500. Bagi anugerah Rekaan Terbaik pilihan juri pula akan menerima sejumlah RM1,000.

Sementara itu, Mohamed Awang, berkata pertandingan PSI 2010 adalah landasan terbaik generasi muda menempa nama hingga ke peringkat antarabangsa. Menerusi PSI yang diadakan sebelum ini, peserta yang menerima pencapaian terbaik sudah berjaya mencipta nama dan melahirkan beberapa pengusaha batik Terengganu di luar negara termasuk London, China dan Jerman.

“Sebagai permulaan, tahun ini kita akan membawa pemenang menonjolkan bakat dan kreativiti mereka ke beberapa negara di Eropah seperti Milan, Barcelona, Paris dan London. Ia sebagai salah satu kaedah mengekalkan batik supaya tidak pupus di mata dunia.

“Malah, dengan cara memodenkan khazanah warisan negeri Terengganu itu, keunikan batik yang dibawa ke peringkat antarabangsa sekali gus dapat menggalakkan masyarakat barat menggayakan rekaan batik, tetapi disesuai padankan mengikut budaya, cuaca dan warna kulit mereka,” katanya.

Peluang menyertai PSI 2010 masih terbuka kepada orang ramai yang berminat menghantar hasil kerja serta menempa nama ke peringkat global sebelum tarikh tutup pada 29 Julai ini.

INFO:
Piala Seri Iman 2010

Tema: Khazanah Kenyir

Kategori:
* Rekaan Fesyen Batik,
* Reka Corak Batik
* Reka Corak Batik Blok
* Rekaan Ukiran Kayu
* Reka Corak Songket.

Tarikh tutup penyerahan penyertaan: 29 Julai 2010
Pekan Budaya Peringkat Daerah Kemaman Tahun 2010 yang diadakan pada 21 Julai hingga 7 Ogos 2010 bertempat di Padang Astaka , Kemaman. Sebanyak 43 gerai daripada agensi kerajaan dan swasta yang telah mengambil bahagian di dalam karnival ini.Majlis perasmian karnival Pekan budaya telah disempurnakan oleh Y.B. Dato’ Haji Mohamed bin Awang Tera, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan Dan Koperasi Negeri , pada 21 Julai 2010 jam 9.00 malam bertempat di Padang Astaka, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera dalam ucapan perasmiannya berkata, Pekan Budaya Kemaman adalah platform terbaik bagi pengusaha IKS memasarkan produk mereka selain mencari peluang rakan niaga baru. Selain itu, pengusaha IKS boleh menonjolkan kelebihan produk mereka untuk menarik perhatian pengunjung sekali gus menjana ekonomi baru bagi pengusaha IKS di daerah Kemaman ini.

Menurutnya lagi, Pekan Budaya bukan sekadar menonjolkan seni dan budaya negeri berikutan penganjurannya memberi manfaat kepada pelbagai pihak.

“Saya difahamkan lebih 40 gerai dan tapak pameran membuka perniagaan ma-sing-masing. Ini memberi ruang kepada peniaga IKS mencari ruang baru di pasaran terbuka,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Mohamed turut menyampaikan cenderahati kepada semua pihak yang menjayakan Pekan Budaya Kemaman, melawat lebih 40 tapak gerai dan pameran serta beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.

Perasmian karnival pada malam itu turut diserikan dengan pelbagai acara persembahan kebudayaan. Kelab Belia ASWARI turut terlibat dengan persembahan tarian Asmaradana yang mengasyikkan para pengunjung pada malam itu.
Related Posts with Thumbnails