Thursday, July 22, 2010

Piala Seri Iman kembali

MATLAMAT untuk terus melahirkan pelapis baru dan memberi peluang kepada pereka mencetuskan idea segar dalam industri batik dan kraf, menjadikan kerajaan negeri Terengganu menganjurkan pertandingan reka corak batik bagi merebut Piala Seri Iman 2010.
Pertandingan kali kelima penganjurannya itu juga diadakan sejajar dengan perkembangan seni batik dan fesyen semasa sejajar arus permodenan hari ini.
Pertandingan berkenaan memberi inspirasi kepada peserta dan pereka fesyen batik menghasilkan rekaan terbaru dengan gabungan idea dan elemen moden tanpa menjejaskan identiti tradisional warisan tempatan.

Sebagai kelainan, peserta perlu mengikut tema iaitu Khazanah Kenyir, berbanding sebelum ini hanya menekankan elemen semula jadi saja.

‘Khazanah’ bermaksud barang kepunyaan atau kumpulan lama, tetapi masih tetap berguna sementara ‘Kenyir’ pula adalah tasik buatan keluasan 38,000 hektar yang mempunyai himpunan lukisan alam semula jadi utuh terpelihara.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Rekaan Cemerlang Terengganu atau Terengganu Institute of Design Excellence (TiDE), Prof Madya Sulaiman Abdul Ghani, berkata tema berkenaan dipilih bertujuan membuka minda peserta dalam mempelbagaikan reka corak dalam batik, songket dan kraf.
“Elemen menerusi khazanah Kenyir yang kaya dengan tumbuhan alam fana antaranya boleh mendapat inspirasi dari air terjun, haiwan, flora, serangga, pemandangan, tekstur halus serta tumbuhan liar yang terdapat di keliling Tasik Kenyir.

“Ciri semula jadi itu boleh digunakan sebagai sumber inspirasi, tetapi perlu mengolah rekaan itu kepada sifat lebih kreatif,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Piala Seri Iman 2010 dan Logo Batik Tulen Terengganu di Hotel Ritz Carlton, di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis itu dilancarkan oleh Ahli Exco Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Usahawan dan Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohamed Awang Tera dan Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Batik Terengganu, Mohd Zahari Zakaria.

Sulaiman berkata, pertandingan kali ini diadakan mengikut kategori yang dipertandingkan semula seperti kategori Rekaan Fesyen Batik, Reka Corak Batik, Reka corak Batik Blok, Rekaan Ukiran Kayu dan Reka Corak Songket.

Ganjaran diterima peserta juga berbeza daripada tahun lalu, iaitu untuk tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM30,000 berbanding RM15,000 pada tahun sebelumnya selain sijil penyertaan dan jambangan bunga.

Tempat kedua pula, pemenang akan menerima RM15,000 (berbanding RM13,000 tahun lalu), sementara tempat ketiga pula kekal pada jumlah wang tunai sama iaitu RM10,000. Tempat keempat hingga ke-10, mereka berpeluang membawa pulang RM2,500 berbanding hanya RM2,000, sebelum ini.

PSI tidak hanya mencari pemenang saja sebaliknya turut memberi pengiktirafan dengan menyediakan anugerah tambahan iaitu Persembahan Terbaik yang bakal menerima wang tunai RM2,500. Bagi anugerah Rekaan Terbaik pilihan juri pula akan menerima sejumlah RM1,000.

Sementara itu, Mohamed Awang, berkata pertandingan PSI 2010 adalah landasan terbaik generasi muda menempa nama hingga ke peringkat antarabangsa. Menerusi PSI yang diadakan sebelum ini, peserta yang menerima pencapaian terbaik sudah berjaya mencipta nama dan melahirkan beberapa pengusaha batik Terengganu di luar negara termasuk London, China dan Jerman.

“Sebagai permulaan, tahun ini kita akan membawa pemenang menonjolkan bakat dan kreativiti mereka ke beberapa negara di Eropah seperti Milan, Barcelona, Paris dan London. Ia sebagai salah satu kaedah mengekalkan batik supaya tidak pupus di mata dunia.

“Malah, dengan cara memodenkan khazanah warisan negeri Terengganu itu, keunikan batik yang dibawa ke peringkat antarabangsa sekali gus dapat menggalakkan masyarakat barat menggayakan rekaan batik, tetapi disesuai padankan mengikut budaya, cuaca dan warna kulit mereka,” katanya.

Peluang menyertai PSI 2010 masih terbuka kepada orang ramai yang berminat menghantar hasil kerja serta menempa nama ke peringkat global sebelum tarikh tutup pada 29 Julai ini.

INFO:
Piala Seri Iman 2010

Tema: Khazanah Kenyir

Kategori:
* Rekaan Fesyen Batik,
* Reka Corak Batik
* Reka Corak Batik Blok
* Rekaan Ukiran Kayu
* Reka Corak Songket.

Tarikh tutup penyerahan penyertaan: 29 Julai 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails