Saturday, July 3, 2010

Gaharu / Karas bernilai tinggi di Hutan Simpan Gunong Tebu, Terengganu

Hutan Simpan Gunung Tebu di daerah ini bukan sahaja kaya dengan kayu-kayan berharga tetapi mempunyai pokok karas atau gaharu yang bernilai tinggi.


Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Razani Ujang, atas sebab itu Jabatan Hutan Negeri Terengganu memilih kawasan tersebut untuk dijadikan petak kajian menerusi projek Kajian Karas In Situ.
Menurutnya, keluasan petak projek yang diwujudkan seluas 13.75 hektar mengandungi 31 pokok karas bernilai kira-kira RM1 juta jika cukup usianya.
“Petak kajian pokok karas liar untuk hasil kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia dan beberapa agensi penyelidikan lain. “Buat masa ini Agensi Nuklear Malaysia mencipta formula suntikan ubat (inducer gaharu) bagi menghasilkan karas yang lebih berkualiti,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Petak In Situ Karas Hutan Simpan Gunung Tebu yang turut disertai Pengarah Jabatan Hutan Negeri Nor Akhiruddin Mahmud.

Razani berkata, pemantauan dilaksanakan sekerap mungkin di petak kajian untuk memastikan kawasan itu selamat daripada diceroboh memandangkan kawasan ini berhampiran jalan besar dan kampung. Menurutnya, pokok karas bukan sahaja boleh menghasilkan minyak wangi tetapi sekarang ada kajian mengenai keberkesanan gaharu untuk dijadikan ubat darah tinggi dan kencing manis.

“Petak kajian ini dilakukan bagi menghasilkan pelbagai teknik terkini penanaman karas untuk mendapatkan gaharu yang bermutu tinggi,” katanya. Sementara itu Nor Akhiruddin berkata, kejadian menceroboh dan mencuri karas liar di kawasan Hutan Simpan di negeri ini masih terkawal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails