Pulau Perhentian adalah salah satu pulau di dunia yang sangat indah dan cantik menurut Lonely Planet, firma panduan pelancong terbesar di dunia.
Air yang membiru, pasir yang memutih, pengalaman merentas hutan yang menyeronokkan, menyelam dan aktiviti kesukaan ramai iaitu berjemur di bawah sinaran matahari hanyalah antara beberapa perkara yang boleh dialami dan di rasai di Pulau Perhentian. Ini kerana banyak lagi yang boleh diterokai di Pulau Perhentian sehingga melayakkannya tersenarai di tangga kelima untuk Best Beach to Swing a Hammock dalam 1,000 Ultimate Experiences 2010.
Pulau Perhentian yang bermaksud 'pulau laluan hentian' terbahagi kepada dua pulau iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil.
Dengan dikelilingi hutan hujan tropika dan pokok palma yang tumbuh subur di pesisir pantai, Pulau Perhentian ibarat sebuah pulau yang sangat suci tanpa gangguan dan juga tanda perdagangan.
Antara kedua-dua pulau, Pulau Perhentian Kecil amat sesuai dengan backpackers di mana mereka akan menemui pelbagai pakej menarik yang sesuai dengan bajet terutama untuk penginapan dan makanan.
Pulau Perhentian Besar pula lebih menawarkan penginapan dan kemudahan yang mewah.
Terletak berdekatan dengan Taman Laut Pulau Redang, Perhentian mempunyai terumbu karang yang cukup cantik dan menjanjikan pemandangan mempesona yang sesuai untuk aktiviti 'snorkeling' serta selam skuba.
Selain dua aktiviti yang popular itu, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti mengelilingi pulau atau menyewa bot kecil untuk meneroka teluk swasta yang cantik memukau.
Kunjungan anda ke situ pasti memberi pengalaman yang cukup bermakna dan meninggalkan 1001 kenangan terindah.
>>BAGAIMANA KE SINI:
Pengunjung boleh menaiki bot di Jeti Kuala Besut di antara Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu untuk sampai ke Pulau Perhentian.
SUMBER : http://www.hmetro.com.my/
No comments:
Post a Comment