Tuesday, August 17, 2010

AIR TERJUN




Air terjun
Lokasi : Air Terjun Penitih
Aktiviti : Perkelahan, Perkhemahan
Kemudahan : Jalan Masuk "Crusher Run" (Sebahagian Sahaja)

Lokasi : Air Terjun Menderu
Aktiviti : Perkelahan, Perkhemahan
Kemudahan : Wakaf, Tandas Awam, Surau, Bangku, TLK, Tong Sampah, Papan Tanda, Jalan Masuk Berturap (Sebahagian Sahaja)


Lokasi : Air Terjun Jeram Tanduk
Aktiviti : Perkelahan, Perkhemahan.
Kemudahan : Perkelahan, Perkhemahan Jalan Masuk "Crusher Run" (Sebahagian Sahaja)

ZOO KEMAMAN


Lokasi: TAMAN REKREASI DAN MINI ZOO KEMAMAN
Aktiviti: Taman Tema Air, Menaiki Jambatan Gantung, Taman Orkid, Akuarium, menara Tinjau, Air Terjun, Sangkar Burung Pelbagai, Dusun Buah-Buahan, Taman Herba
Kemudahan : Wakaf, Surau, Trek Pejalan Kaki, Tandas Awam, Kiosk


Taman Rekreasi dan Mini Zoo ini telah dibuka kepada orang ramai pada 11 April 2009 dan ianya terletak di Kampung Ibok/Bukit Takal (sesetengah mengejanya dengan Bukit Takar).


peta-lokasi-zoo-kemaman2

[klik pada peta untuk imej yang lebih besar]

simpang-kijal-ke-zoo

Untuk ke sana, bagi mereka yang tinggal di Cukai mungkin tidak mempunyai sebarang masalah.

Bagi mereka dari luar, kalau dari utara [melalui jalan pantai - Jalan Persekutuan Laluan 3] boleh belok ke kanan [Laluan T6] di persimpangan lampu isyarat selepas pekan Titian Berayung, Kijal. Terdapat papan tanda besar di tepi jalan. Terus dengan Laluan T6 melepasi Kg. Bukit Anak Dara dan Kampung Jong Berlabuh hingga ke persimpangan Laluan T13, belok kanan. Di Laluan T13, selepas ‘pekan’ Kg. Ibok terus ke Laluan T131.

kelip-kelip-yah-yah

Dari sini, anda tidak akan terlepas zoo tersebut yang terletak kira-kira 5km dari kawasan kelip-kelip Sungai Yak-Yah – satu lagi tempat menarik di Kemaman.

signage-zoo-kemaman

Kalau dari selatan, apabila memasuki bandar Cukai, anda akan belok ke kiri ke Jalan Air Putih [Laluan T8] di persimpangan “digital” [itu yang dipanggil oleh orang Kemamang - yang mempunyai jangkamasa digital lampu hijau/merah]. Kira-kira 2km terdapat persimpangan lampu isyarat ke kanan [Laluan T131] untuk ke Kg. Mak Chili dan Kg Ibok. Taman ini terletak di sebelah kanan sekitar 5-6km dari persimpangan tersebut.

pintu-masuk-zoo

Pintu masuk utama jelas menandakan tempat yang anda cari. Tempat letak kereta terletak di sebelah kiri seberang jalan. Selamat berkunjung!

sumber: http://akarimomar.wordpress.com/2009/04/13/taman-rekreasi-mini-zoo-kemaman/

SEJARAH KEMAMAN


DAERAH KEMAMAN merupakan daerah yang paling hujung ke Selatan Negeri Terengganu Darul Iman. Daerah ini dengan keluasan kira-kira 8,000 batu persegi (254,000 hektar) ketiga selepas Hulu Terengganu dan Dungun bersempadan dengan Laut China Selatan.
Bancian penduduk sehingga 1940-an menunjukkan daerah ini juga yang ketiga dari segi jumlah penduduknya selepas Kuala Terengganu dan Besut. Bagaimanapun, bancian ini telah berubah selepas penemuan petroleum sekitar tahun 1970-an yang meletakkan daerah ini di tempat kedua selepas Kuala Terengganu.
Daerah Kemaman terbahagi kepada 11 mukim dengan pusat pentadbiran dan ekonominya tertumpu di bandar Cukai. Bentuk muka bumi daerah ini dapat dibahagikan kepada tiga kawasan utama iaitu :
1. Kawasan pantai.
2. Kawasan Pedalaman
3. Kawasan kaki bukit (terletak hanya beberapa kilometer dari pantai)

Kawasan pantai mempunyai bentuk muka bumi yang rendah dan rata dengan majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti menangkap ikan. Kawasan ini memanjang sejauh kira-kira 38 batu dari Kuala Kemaman ke Kertih. Lebih separuh penduduk Kemaman tertumpu di kawasan ini.
Kawasan pedalaman daerah ini pula mempunyai bentuk muka bumi tanah tinggi dan berbukit bukau. Kawasan ini kaya dengan hasil bijih timah, tanaman kelapa sawit dan kayu kayan. Justeru itu, penempatan yang berlaku ada hubungkait dengan aktiviti ekonomi setempat.
Di samping itu, kawasan kaki bukit daerah ini mempunyai jumlah penduduk kedua teramai. Kawasan ini terletak antara kawasan persisiran pantai dan kawasan pedalaman. Aktiviti utama penduduk kawasan ini ialah sebagai petani.
Dari segi sejarah awal, Kemaman sudah mula dikenali sejak kurun kedua sebelum Masihi dengan nama “KOLE”. Ini berdasarkan kepada peta Semenanjung Tanah Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (ahli kaji bintang dan Ilmu Alam Greek, lahir di Mesir pada kurun kedua sebelum Masihi) mencatatkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur iaitu “ Perimula” dan “Kole”. Ahli Sejarah sependapat bersetuju bahawa “Perimula” adalah Kuala Sungai Terengganu manakala “Kole” pula adalah Kemaman.
Dalam pada itu, sejarah pembukaan daerah ini masih kabur ekoran tiada catatan bertulis dan bukti-bukti sahih mengenainya. Namun begitu, pakar sejarah tempatan bersetuju bahawa daerah ini mula diterokai kira-kira 300 tahun dahulu oleh Che Wan Teh dan pengikut-pengikutnya. Che Wan Teh berketurunan bangsawan Pahang telah berhijrah ke daerah ini dari Kuala Pahang berikutan kekacauan dan huru-hara yang sering berlaku di sana. Beliau telah membuka penempatan di kawasan pantai dan kampung pertama yang mula diterokai ialah kampung Bukit Mengkuang. Sebelum kedatangan kumpulan orang Melayu, daerah (kawasan ini) mulanya didiami oleh kaum Sakai yang kemudiannya berpindah ke kawasan pedalaman.
Setelah beberapa lama berkampung di Bukit Mengkuang, Che Wan Teh telah berpindah membuka perkampungan baru berhampiran muara Sungai Kemaman dikenali Tanjung Geliga. Penempatan baru ini juga tidak selamat kerana sering diganggu oleh ancaman lanun dan perompak. Oleh itu, Che Wan Teh dan pengikutnya sekali lagi berpindah dan meneroka kawasan baru di tebing Sungai Kemaman (kira-kira tiga kilometer dari Tanjung Geliga). Tempat ini kemudiannya dikenali sebagai Cukai. Peristiwa ini dapat dikukuhkan dengan adanya sebuah perkuburan lama di kawasan berkenaan. Che Wan Teh dikatakan meninggal dunia tidak beberapa lama selepas membuka Kampung Cukai. Pengikut-pengikutnya serta generasi selepas beliau kemudiannya meneruskan penerokaan kawasan-kawasan baru berikutan pertambahan penduduk dan keperluan tanah pertanian yang baru.
Selain versi secara lisan, terdapat versi lain yang merujuk kepada catatan bertulis mengaitkan pembukaan daerah Kemaman dengan bangsawan Patani yang dikenali sebagai Lebai Saris. Bagaimanapun, versi ini mencatatkan peristiwa awal abad 19 iaitu semasa Terengganu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Syah I (1808-1830) dan secara tidak langsung merupakan kesinambungan kepada proses pembukaan daerah Kemaman oleh Che Wan Teh.

Monday, August 16, 2010

2,000 penduduk Kijal dirai sempena Ramadhan

Kehadiran MB sampaikan cenderahati penaja meriahkan program

CHUKAI: Ramadan tahun ini mungkin paling bermakna buat penduduk sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, di sini apabila kawasan mereka dipilih menjadi lokasi program Semarak Ramadan anjuran Berita Harian, yang masuk tahun kedua penganjurannya.
Keceriaan jelas terpancar di wajah seluruh penduduk daerah ini terutama warga miskin, ibu tunggal dan warga emas hinggalah peniaga di bazar Ramadan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyampaikan cenderahati daripada Kumpulan Ambank; Padi Beras Nasional (Bernas); Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (YUTA); Petronas dan MKT Link Sdn Bhd (MKT Link).
Lebih 2,000 penduduk daripada beberapa kampung sekitar Kijal kemudian memeriahkan majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar di Masjid Kampung Batu 9, di sini, yang mana pada majlis itu sumbangan turut disampaikan kepada 15 anak yatim dan 23 penduduk miskin menerima barangan makanan daripada Berita Harian.

Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Pengarah Eksekutif, Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mahfar Ali; Pengarah Perhubungan Awam Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali dan Pengurus Wilayah 5 – Pahang, Terengganu dan Kelantan AmBank, Mohd Nawi Mohd Yusoff.

Terdahulu, Ahmad dengan diiringi Mahfar, Syed Ali dan Mohd Nawi melawat bazar Ramadan di pekan Kijal dan menyerahkan beg berisi barangan sumbangan AmBank berupa topi dan kemeja T, apron sumbangan Petronas dan sabun pencuci MAMMA sumbangan MKT Link, selain 2,000 naskhah Berita Harian yang diedarkan secara percuma kepada lebih 70 peniaga di situ.

Selain itu, Semarak Ramadan kali ini turut diisi dengan majlis penyampa- ian sumbangan wang zakat bernilai RM350 oleh Menteri Besar kepada 744 penerima pada majlis di Dewan Sivik, Kijal.

AmBank turut menyumbangkan wang tunai RM3,000 kepada Masjid Kampung Batu 9, Ibok.

Penduduk yang ditemui berkata, mereka teruja kerana kawasan mereka terpilih sebagai lokasi pertama program Semarak Ramadan Berita Harian tahun ini dan mengakui tambah terharu apabila berpeluang berbuka puasa bersama pemimpin kesayangan yang juga orang nombor satu di negeri ini.

Ahmad berkata, program Semarak Ramadan ini wajar dijadikan acara tahunan kerana ia menjadi platform terbaik untuk syarikat swasta mendekati masyarakat di sesebuah kawasan, selain membantu kerajaan negeri membantu golongan kurang berkemampuan terutama sempena Ramadan yang mulia.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Berita Harian menganjurkan program ini kerana ia bukan saja berjaya mengimarahkan kehadiran Ramadan, tetapi juga membuktikan syarikat swasta turut prihatin dengan nasib golongan kurang melalui Ramadan dan menyambut Aidilfitri.

“Secara peribadi saya memuji usaha Berita Harian dan AmBank ini dan berharap syarikat swasta lain boleh mengambil contoh inisiatif murni ini,” katanya.

SUMBER :
http://www.bharian.com.my/bharian/

Sunday, August 15, 2010

Penyu belimbing kembali





INI merupakan berita paling gembira Bidai terima sepanjang menulis di ruangan ini. Walaupun tidak diberi tajuk utama, ingin Bidai memberitahu kepada pembaca, penyu yang dikatakan pupus dan tidak kembali ke Terengganu, penyu belimbing (dermochelys coriacea) akhirnya mendarat semula untuk bertelur di Rantau Abang, lokasi yang satu ketika dahulu amat terkenal dengan spesies perantau marin itu.

Penyu yang dinamakan Puteri Rantau Abang itu dikesan naik bertelur di pantai berkenaan baru-baru ini dan selepas diperiksa, spesies marin prasejarah itu merupakan antara penyu belimbing yang dilepaskan pada program penetasan pada tahun 1978 oleh Jabatan Perikanan.

Ia mendarat buat pertama kalinya untuk bertelur pada 15 Julai lalu, disusuli pada 26 Julai dan 6 Ogos sebelum 'disimpan' buat sementara dalam tangki bagi tujuan pemasangan peralatan satelit.

Ketika ditangkap semasa naik bertelur, spesies terbesar dalam keluarga penyu laut itu mempunyai panjang mencecah 1.55 meter dan lebar 1.15 meter dengan anggaran berat 500 kilogram.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zakaria Ismail penyu itu dikenali sebagai antara yang dilepaskan pada program penetasan jabatan berkenan selepas menjumpai tanda ketika pemeriksaan dilakukan.

Selain penyu betina tersebut, Zakaria turut berkata Jabatan Perikanan Terenggganu mencatatkan lima pendaratan penyu belimbing di negeri ini setakat tahun ini dengan jumlah kutipan keseluruhan 439 biji telur.

Penyu-penyu itu mendarat di sekitar pantai Dungun dan Rantau Abang.

Jika 30 tahun lalu, pantai Rantau Abang dipenuhi oleh pelancong dan penduduk tempatan untuk menyaksikan penyu bertelur dan Khamis lalu suasananya tidak banyak beza.

Mungkin kalau ada pun, penyu yang turun semula ke laut berkurangan berbanding ketika itu.

Puteri Rantau Abang dilepaskan kembali ke laut selepas badannya dipasang peranti satelit bagi kegunaan penyelidikan.

Menurut Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, pemasangan peranti itu akan membolehkan Puteri Rantau Abang memberikan pelbagai maklumat saintifik mengenai laluan penjelajahan kawasan pemakanan dan permainannya di samping merekod suasana ekologi seperti kadar kemasinan dan suhu air.

Pelepasan semula itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau Abang, Datuk Zaa'bar Mohd. Adib.

Bidai melihat akhirnya usaha yang dijalankan Jabatan Perikanan hampir mencapai matlamat walaupun selama ini spesies penyu lain banyak mendarat ke pantai di Terengganu.

Malah, kehadiran penyu yang mempunyai cengkerang lembut itu memberikan pengharapan baru dalam memulihara kehadiran penyu belimbing yang satu ketika dahulu merupakan antara tunjang kepada pelancongan di Terengganu.

Namun dalam kegembiraan melihat pendaratan penyu belimbing itu, ada lagi sisi hitam berkenaan penyu di Terengganu.

Pasar Besar Kedai Payang, di Kuala Terengganu masih lagi menjual telur penyu Terengganu yang dijual secara terbuka.

Penjualan tanpa penguatkuasaan itu menyaksikan simbiosis antara agensi pusat dan kerajaan negeri tidak bertaut dengan baik.

Walaupun dilihat membantu Jabatan Perikanan namun penguatkuasaan penjualan telur penyu di pasar mereka dilihat hambar.

Alasan yang sering diberikan ialah itulah budaya orang Terengganu. Mereka sudah lama makan telur penyu dan tidak boleh tinggalkan budaya yang sudah sekian lama diamalkan itu.

Walaupun peraturan mengatakan hanya telur penyu yang diperoleh dari negara lain boleh dijual, namun siasatan baru-baru ini mendapati telur penyu Terengganu kembali menghiasi ruang perniagaan mereka dengan harga RM30 untuk 10 biji.

Kata seorang penjual, telur penyu mampu memberikan 'kekuatan luar biasa' kepada seorang lelaki dan mampu mencegah asma dan juga sakit belakang.

Bidai agak runsing dengan kenyataan itu kerana Bidai pasti, rakyat Malaysia yang sering percaya kepada benda-benda yang kurang kajian daripada segi saintifik akan menjadikan ia sebagai satu pedoman.

Akhirnya, 'pulangan' daripada usaha itu tidak diperoleh tetapi sumber yang bernilai dan sukar diperoleh pula semakin hampir pupus.

Bidai agak hairan dengan isu ini. Kuasa yang ada di tangan kerajaan negeri seolah-olah tidak dimanfaatkan untuk kepentingan pemuliharaan spesies yang semakin diancam kepupusan.

Apakah disebabkan penyu tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi kerajaan negeri mengetepikan usaha untuk memulihara kepupusan penyu terbabit?

Bayangkan, kajian Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia) bertajuk Penjualan dan Memakan Telur Penyu di Malaysia yang sediakan oleh TRAFFIC Southeast Asia mendapati pada tahun 2007, sejumlah 422,000 biji telur penyu melalui urusan jual beli di Terengganu sahaja.

Menurut WWF-Malaysia, jumlah berkenaan menunjukkan ia dua kali ganda dengan jumlah telur dalam sarang yang ada di negeri itu.

Ingin Bidai tegaskan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma yang mengatakan bahawa kepupusan penyu belimbing di Terengganu adalah disebabkan pengambilan telur penyu untuk dimakan.

Puteri Rantau Abang kembali mendarat selepas 32 tahun menghilang


Orang ramai melihat penyu belimbing yang telah dipasang peralatan satelit migrasi sebelum dilepaskan di Pantai Rantau Abang, Dungun, Terengganu, kelmarin.

DUNGUN 12 Ogos - Puteri Rantau Abang, penyu belimbing yang dilepaskan ke laut 32 tahun lalu di bawah program penetasan bagi tujuan pemuliharaan, dikesan kembali buat pertama kalinya ke pantai di sini untuk bertelur baru-baru ini.

Kemunculannya memberi harapan baru terhadap masa depan spesies itu yang dikatakan gelap sekali gus membantu menyambung kajian mengenai migrasi yang pernah dilakukan 20 tahun lalu.

Petang semalam, di pantai yang sama, ia dilepaskan semula ke laut setelah dipasang peralatan peranti satelit dengan teknologi terkini.

Usaha Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang itu bertujuan mengumpulkan pelbagai maklumat saintifik mengenai laluan penjelajahan penyu itu, kawasan pemakanan dan permainannya di samping merekod suasana ekologi seperti kadar kemasinan dan suhu air.

Ia dilepaskan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau Abang, Datuk Zaa'bar Mohd. Adib.

Pelancong dan penduduk tempatan yang teruja dengan usaha dilakukan, tidak melepaskan peluang menyaksikan upacara itu.

Penyu belimbing itu yang ditetaskan pada 1978 dan dipasangkan tanda pengenalan oleh Jabatan Perikanan kini mencapai ukuran 1.51 meter lebar, 1.16 meter panjang dan seberat hampir 500 kilogram.

Ia mendarat buat pertama kalinya untuk bertelur pada 15 Julai lalu, disusuli pada 26 Julai dan 6 Ogos lalu sebelum 'disimpan' buat sementara dalam tangki bagi tujuan pemasangan peralatan satelit.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahamad Sabki memberitahu, peranti satelit Platform Transmitter Terminal yang dibeli dari New Zealand mempunyai jangka hayat bateri selama lebih setahun.

"Pergerakan penyu itu sekiranya ia terus selamat akan dapat dikesan oleh Satelit Argos yang berpengkalan di Perancis.

''Banyak maklumat saintifik yang akan diperoleh seperti sejauh mana Puteri Rantau Abang berenang meninggalkan pantai Rantau Abang setelah bertelur," ujarnya.

Katanya, maklumat mengenai lokasi kawasan pemakanannya juga amat mustahak untuk masyarakat antarabangsa bersama-sama meningkatkan aktiviti melindunginya.

Menurut Ahamad Sabki, pihaknya juga turut mengharapkan publisiti meluas mengenai kajian sebegini agar dapat meningkatkan lagi kesedaran umum dan mereka akan bersama-sama jabatan melindungi dan memulihara spesies itu dan penyu-penyu lain .

Sementara itu, Zaa'bar memberitahu, pada musim pendaratan tahun ini sehingga semalam, tiga ibu penyu belimbing telah mendarat di pantai Rantau Abang dengan hampir 500 biji telur.

''Telur-telur ini akan dieram di pusat penetasan Rantau Abang dan kemudiannya dilepaskan ke laut," ujarnya.

Beliau berharap perkembangan terbaru ini benar-benar dapat membuktikan penyu belimbing akan terus kembali setelah beberapa dekad dilepaskan ke laut.
Related Posts with Thumbnails