Sunday, August 15, 2010

Penyu belimbing kembali





INI merupakan berita paling gembira Bidai terima sepanjang menulis di ruangan ini. Walaupun tidak diberi tajuk utama, ingin Bidai memberitahu kepada pembaca, penyu yang dikatakan pupus dan tidak kembali ke Terengganu, penyu belimbing (dermochelys coriacea) akhirnya mendarat semula untuk bertelur di Rantau Abang, lokasi yang satu ketika dahulu amat terkenal dengan spesies perantau marin itu.

Penyu yang dinamakan Puteri Rantau Abang itu dikesan naik bertelur di pantai berkenaan baru-baru ini dan selepas diperiksa, spesies marin prasejarah itu merupakan antara penyu belimbing yang dilepaskan pada program penetasan pada tahun 1978 oleh Jabatan Perikanan.

Ia mendarat buat pertama kalinya untuk bertelur pada 15 Julai lalu, disusuli pada 26 Julai dan 6 Ogos sebelum 'disimpan' buat sementara dalam tangki bagi tujuan pemasangan peralatan satelit.

Ketika ditangkap semasa naik bertelur, spesies terbesar dalam keluarga penyu laut itu mempunyai panjang mencecah 1.55 meter dan lebar 1.15 meter dengan anggaran berat 500 kilogram.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zakaria Ismail penyu itu dikenali sebagai antara yang dilepaskan pada program penetasan jabatan berkenan selepas menjumpai tanda ketika pemeriksaan dilakukan.

Selain penyu betina tersebut, Zakaria turut berkata Jabatan Perikanan Terenggganu mencatatkan lima pendaratan penyu belimbing di negeri ini setakat tahun ini dengan jumlah kutipan keseluruhan 439 biji telur.

Penyu-penyu itu mendarat di sekitar pantai Dungun dan Rantau Abang.

Jika 30 tahun lalu, pantai Rantau Abang dipenuhi oleh pelancong dan penduduk tempatan untuk menyaksikan penyu bertelur dan Khamis lalu suasananya tidak banyak beza.

Mungkin kalau ada pun, penyu yang turun semula ke laut berkurangan berbanding ketika itu.

Puteri Rantau Abang dilepaskan kembali ke laut selepas badannya dipasang peranti satelit bagi kegunaan penyelidikan.

Menurut Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, pemasangan peranti itu akan membolehkan Puteri Rantau Abang memberikan pelbagai maklumat saintifik mengenai laluan penjelajahan kawasan pemakanan dan permainannya di samping merekod suasana ekologi seperti kadar kemasinan dan suhu air.

Pelepasan semula itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau Abang, Datuk Zaa'bar Mohd. Adib.

Bidai melihat akhirnya usaha yang dijalankan Jabatan Perikanan hampir mencapai matlamat walaupun selama ini spesies penyu lain banyak mendarat ke pantai di Terengganu.

Malah, kehadiran penyu yang mempunyai cengkerang lembut itu memberikan pengharapan baru dalam memulihara kehadiran penyu belimbing yang satu ketika dahulu merupakan antara tunjang kepada pelancongan di Terengganu.

Namun dalam kegembiraan melihat pendaratan penyu belimbing itu, ada lagi sisi hitam berkenaan penyu di Terengganu.

Pasar Besar Kedai Payang, di Kuala Terengganu masih lagi menjual telur penyu Terengganu yang dijual secara terbuka.

Penjualan tanpa penguatkuasaan itu menyaksikan simbiosis antara agensi pusat dan kerajaan negeri tidak bertaut dengan baik.

Walaupun dilihat membantu Jabatan Perikanan namun penguatkuasaan penjualan telur penyu di pasar mereka dilihat hambar.

Alasan yang sering diberikan ialah itulah budaya orang Terengganu. Mereka sudah lama makan telur penyu dan tidak boleh tinggalkan budaya yang sudah sekian lama diamalkan itu.

Walaupun peraturan mengatakan hanya telur penyu yang diperoleh dari negara lain boleh dijual, namun siasatan baru-baru ini mendapati telur penyu Terengganu kembali menghiasi ruang perniagaan mereka dengan harga RM30 untuk 10 biji.

Kata seorang penjual, telur penyu mampu memberikan 'kekuatan luar biasa' kepada seorang lelaki dan mampu mencegah asma dan juga sakit belakang.

Bidai agak runsing dengan kenyataan itu kerana Bidai pasti, rakyat Malaysia yang sering percaya kepada benda-benda yang kurang kajian daripada segi saintifik akan menjadikan ia sebagai satu pedoman.

Akhirnya, 'pulangan' daripada usaha itu tidak diperoleh tetapi sumber yang bernilai dan sukar diperoleh pula semakin hampir pupus.

Bidai agak hairan dengan isu ini. Kuasa yang ada di tangan kerajaan negeri seolah-olah tidak dimanfaatkan untuk kepentingan pemuliharaan spesies yang semakin diancam kepupusan.

Apakah disebabkan penyu tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi kerajaan negeri mengetepikan usaha untuk memulihara kepupusan penyu terbabit?

Bayangkan, kajian Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia) bertajuk Penjualan dan Memakan Telur Penyu di Malaysia yang sediakan oleh TRAFFIC Southeast Asia mendapati pada tahun 2007, sejumlah 422,000 biji telur penyu melalui urusan jual beli di Terengganu sahaja.

Menurut WWF-Malaysia, jumlah berkenaan menunjukkan ia dua kali ganda dengan jumlah telur dalam sarang yang ada di negeri itu.

Ingin Bidai tegaskan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma yang mengatakan bahawa kepupusan penyu belimbing di Terengganu adalah disebabkan pengambilan telur penyu untuk dimakan.

Puteri Rantau Abang kembali mendarat selepas 32 tahun menghilang


Orang ramai melihat penyu belimbing yang telah dipasang peralatan satelit migrasi sebelum dilepaskan di Pantai Rantau Abang, Dungun, Terengganu, kelmarin.

DUNGUN 12 Ogos - Puteri Rantau Abang, penyu belimbing yang dilepaskan ke laut 32 tahun lalu di bawah program penetasan bagi tujuan pemuliharaan, dikesan kembali buat pertama kalinya ke pantai di sini untuk bertelur baru-baru ini.

Kemunculannya memberi harapan baru terhadap masa depan spesies itu yang dikatakan gelap sekali gus membantu menyambung kajian mengenai migrasi yang pernah dilakukan 20 tahun lalu.

Petang semalam, di pantai yang sama, ia dilepaskan semula ke laut setelah dipasang peralatan peranti satelit dengan teknologi terkini.

Usaha Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang itu bertujuan mengumpulkan pelbagai maklumat saintifik mengenai laluan penjelajahan penyu itu, kawasan pemakanan dan permainannya di samping merekod suasana ekologi seperti kadar kemasinan dan suhu air.

Ia dilepaskan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau Abang, Datuk Zaa'bar Mohd. Adib.

Pelancong dan penduduk tempatan yang teruja dengan usaha dilakukan, tidak melepaskan peluang menyaksikan upacara itu.

Penyu belimbing itu yang ditetaskan pada 1978 dan dipasangkan tanda pengenalan oleh Jabatan Perikanan kini mencapai ukuran 1.51 meter lebar, 1.16 meter panjang dan seberat hampir 500 kilogram.

Ia mendarat buat pertama kalinya untuk bertelur pada 15 Julai lalu, disusuli pada 26 Julai dan 6 Ogos lalu sebelum 'disimpan' buat sementara dalam tangki bagi tujuan pemasangan peralatan satelit.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahamad Sabki memberitahu, peranti satelit Platform Transmitter Terminal yang dibeli dari New Zealand mempunyai jangka hayat bateri selama lebih setahun.

"Pergerakan penyu itu sekiranya ia terus selamat akan dapat dikesan oleh Satelit Argos yang berpengkalan di Perancis.

''Banyak maklumat saintifik yang akan diperoleh seperti sejauh mana Puteri Rantau Abang berenang meninggalkan pantai Rantau Abang setelah bertelur," ujarnya.

Katanya, maklumat mengenai lokasi kawasan pemakanannya juga amat mustahak untuk masyarakat antarabangsa bersama-sama meningkatkan aktiviti melindunginya.

Menurut Ahamad Sabki, pihaknya juga turut mengharapkan publisiti meluas mengenai kajian sebegini agar dapat meningkatkan lagi kesedaran umum dan mereka akan bersama-sama jabatan melindungi dan memulihara spesies itu dan penyu-penyu lain .

Sementara itu, Zaa'bar memberitahu, pada musim pendaratan tahun ini sehingga semalam, tiga ibu penyu belimbing telah mendarat di pantai Rantau Abang dengan hampir 500 biji telur.

''Telur-telur ini akan dieram di pusat penetasan Rantau Abang dan kemudiannya dilepaskan ke laut," ujarnya.

Beliau berharap perkembangan terbaru ini benar-benar dapat membuktikan penyu belimbing akan terus kembali setelah beberapa dekad dilepaskan ke laut.

1 comment:

  1. Gmbira sgt2 dpt tau yg penyu belimbing dh dtg smula ke Terengganu utk btelur, w/pun dh dikatakan pupus pd thn 2008 sbb xde sekor pn yg mndarat kat Terengganu..
    Meh kita sma2 mnyokong usaha memelihara penyu.. Penyu adalah ikon Terengganu.. :)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails