Saturday, August 21, 2010

Perkaya ubati rawan hati anak yatim




Sebahagian anak yatim gembira melihat kain yang diterima daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Terengganu di Besut, baru-baru ini.

BESUT 19 Ogos - Kain yang diterimanya itu digenggam erat dan terpancar keriangan di wajahnya, membayangkan cantiknya apabila ia menjadi sepasang baju kurung untuk dipakai semasa Aidilfitri.

Murni Ahmad, 12, memberitahu dia akan mengajak ibu saudaranya ke rumah tukang jahit di kampungnya dan berharap tempahan yang agak lewat itu tidak akan ditolak.

Ini merupakan sumbangan terbaharu yang diterimanya selain duit raya sepanjang bulan Ramadan ketika rezeki anak yatim piatu itu melimpah ruah.

Ibu dan bapanya meninggal dunia dalam kemalangan beberapa tahun lalu.

Dia adalah antara 274 murid tahun 3 dan tahun 6 dari 50 buah sekolah rendah dalam lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Jerteh, Kuala Besut, Hulu Besut, Kota Putera dan Jabi yang menerima bantuan tersebut baru-baru ini.

Setiap murid lelaki dan perempuan menerima kain untuk membuat pakaian baju Melayu dan baju kurung bersama wang raya sumbangan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Terengganu (Perkaya) cawangan Besut.

Penyampaian disempurnakan oleh ADUN Jabi, Ramlan Ali yang juga Pengerusi Asrama Perkaya Besut dan turut dihadiri oleh Pengerusi Perkaya Besut, Abdul Rashid Awang.

Menurut Abdul Rashid, sumbangan yang diberi merupakan sebahagian daripada usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik itu untuk sama-sama merasai kemeriahan menyambut Aidilfitri.

"Kita berharap nanti lebih ramai pihak yang berkemampuan tampil untuk menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim serta yatim piatu ini supaya mereka tidak rasa terpinggir.

"Sekurang-kurang dengan bantuan yang diberikan ini kesedihan anak-anak yatim dan yatim piatu untuk menyambut lebaran walaupun tanpa kedua ibu bapa mereka tidaklah ketara, "ujarnya.

Abdul Rashid berkata, pada kali ini peruntukan yang disediakan kepada mereka yang dipilih dari sekolah-sekolah rendah berkenaan berjumlah RM27,400.

Katanya, sejak 30 tahun lalu, Perkaya Besut telah membelanjakan lebih RM450,000 untuk menyediakan pakaian hari raya dan wang raya kepada lebih 4,500 anak-anak yang tidak bernasib baik.

Sementara itu, Ramlan dalam ucapannya berkata, kerja-kerja menjaga kebajikan memang tidak diberikan upah tetapi jika dilakukan dengan ikhlas akan dapat memberikan ketenangan jiwa kepada seseorang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails