Tuesday, August 24, 2010

ARYANI RESORT : Reka bentuk tradisi Kesultanan Melayu




REKA bentuk bangunan dan landskap berkonsepkan kesenian Melayu klasik di Aryani Resort, Merang, Terengganu memang menarik perhatian pengunjung.
REKA bentuk bangunan dan landskap berkonsepkan kesenian Melayu klasik di Aryani Resort, Merang, Terengganu memang menarik perhatian pengunjung.

Aryani bermaksud kembali kepada asal menampilkan pemandangan indah di setiap pelosok pusat peranginan terkenal itu terutama reka bentuk bangunannya yang melambangkan tradisi kesultanan Melayu selain perabot daripada kayu antik.

Tiga pondok rehat berhampiran kolam renang dibina mengikut tradisi masyarakat Melayu iaitu atap daripada bata merah yang sering digunakan pada masa dahulu manakala tiang dan lantainya penuh kesenian Melayu.

Pondok utama di sebelah kiri kolam mandi digunakan untuk majlis rasmi seperti pertunjukan gamelan dan upacara mandi bersiram bagi pasangan pengantin yang menginap di resort itu.

Di pondok itu diletakkan permainan alat muzik tradisional, gamelan bagi membolehkan pengunjung bermain alat muzik itu selain sebagai perhiasan.

Kolam renang dibina berbentuk empat segi dan keluasan yang agak sederhana manakala lantainya menggunakan batu marmar air berwarna kekuning-kuningan.

Resort milik Datuk Raja Kamarul Bahrin Ahmad Shah yang dibina lebih 10 tahun lalu itu turut memiliki sebuah bangunan ala rumah pegawai kerajaan Inggeris yang menggunakan ukiran kayu berseni.

Resort seluas enam hektar itu juga dikaitkan dengan perkampungan nelayan yang memiliki suasana persekitaran semula jadi terutama kawasan berhampiran pantai dan pokok kelapa.

Aryani Resort menawarkan 20 vila dan biliknya direka sebagai kombinasi keadaan alam sekitar yang dikelilingi kayu jati yang licin dan dan penuh berseni.

Kelengkapan lain ialah televisyen, telefon IDD, mini bar, peti ais dan kipas siling.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails