Tuesday, August 24, 2010

Terharu terima sumbangan Tuanku Mizan

Mek Ngah Embong, 85, mengesat air mata kerana terharu selepas menerima bantuan daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan pada majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin sempena Aidilfitri di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu

Ramadan sudah masuk hari ke-12 dan Ahmad Haris Ikhwan, 8, belum meninggalkan puasa biarpun pada tahun pertama dia mencuba.

Tubuhnya agak susut namun Ahmad Haris kelihatan lincah dan bercerita tentang keseronokan berbuka puasa di samping tidak sabar menunggu raya.

Betapa gembiranya dia semalam kerana seolah-olah diberi hadiah kerana keupayaannya berpuasa dengan duit raya yang begitu banyak.

Dia menerima duit raya daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin semalam.

"Saya tak bangun sahur. Tapi seronok sangat hari ini...Tak sangka saya dapat duit raya yang diberikan oleh Tuanku Mizan sendiri.

"Saya akan simpan duit ini sebab baju dan kasut raya dah beli awal-awal lagi," ujarnya ketika ditemui selepas majlis tersebut di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man di sini semalam.

Ahmad Haris merupakan antara 210 murid sekolah rendah dan menengah dari tujuh sekolah di seluruh negeri ini yang menerima bantuan sebanyak RM150 seorang.

Di samping itu, seramai 330 fakir miskin menerima bantuan wang tunai dan pakaian daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

Bagi Nor Faizah Akmal Mazalan, 11, pula, dia amat gembira kerana menerima bantuan tersebut pada tahun ini.

Jelasnya, sumbangan yang diterimanya ini dapat membantu meringankan beban ibu dan bapanya membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, dia tidak kisah sekiranya bapa dan ibunya mahu menggunakan duit yang diterima tersebut untuk kegunaan keluarga.

"Baju dan kasut raya dah beli jadi duit ini saya akan simpan di bank jika bapa dan ibu telah cukup duit untuk belanja raya.

"Bapa saya seorang nelayan manakala ibu tidak bekerja dan saya mempunyai lapan orang adik-beradik," ujarnya yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Duyong dekat sini.

sumber : metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails