Tuesday, August 24, 2010

Masjid contoh di Felda


Felda bercadang membina sebuah masjid contoh dalam kawasan tanah rancangan Felda dan menjadikannya sebagai pusat pembangunan masyarakat, selain tempat beribadat.

Sejajar dengan konsep Mesra Felda, masjid itu akan dilengkapi dengan klinik, perpustakaan dan tadika di samping digerakkan program-program berkaitan remaja dan belia.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Nor berkata, pihaknya akan meneliti 400 masjid di kawasan tanah rancangan untuk dipilih bagi menjayakan usaha itu.

"Pembinaan masjid ini diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat masjid moden di negara ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sagu Hati kepada 19 Pengerusi Masjid Dalam Rancangan Felda Wilayah Terengganu dan Majlis Berbuka Puasa di Felda Residence Kuala Terengganu di sini semalam.

Beliau berkata, masjid berkenaan bukan sahaja akan menjadi tempat beribadat tetapi juga mempunyai infrastruktur yang memenuhi tuntutan fardu kifayah.

Jelasnya, rancangan berkenaan mungkin dilaksanakan dengan menaik taraf masjid sedia ada kerana pembinaan masjid juga memerlukan persetujuan jabatan agama.

Katanya, institusi masjid akan turut berperanan menyebarkan maklumat pembangunan dan penjelasan mengenai permasalahan berkait dengan Felda dan masyarakat peneroka.

''Ia juga dapat mendekatkan pihak pentadbiran dengan peneroka bagi menyelesaikan pelbagai perkara termasuk untuk mencapai sasaran pekerja ladang sehingga 40 peratus terdiri daripada orang tempatan berbanding sekarang 14 peratus," katanya.

Beliau berkata, penyampaian maklumat berhubung prestasi dan pembangunan Felda juga akan menangkis sebarang hasutan dan tuduhan buruk yang dilemparkan.

Tambahnya, tindakan itu akan memastikan mereka yang bermotif politik atau berniat jahat terhadap kejayaan Felda, tidak akan mengganggu-gugat Felda.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails