Tuesday, August 17, 2010

SEJARAH KEMAMAN


DAERAH KEMAMAN merupakan daerah yang paling hujung ke Selatan Negeri Terengganu Darul Iman. Daerah ini dengan keluasan kira-kira 8,000 batu persegi (254,000 hektar) ketiga selepas Hulu Terengganu dan Dungun bersempadan dengan Laut China Selatan.
Bancian penduduk sehingga 1940-an menunjukkan daerah ini juga yang ketiga dari segi jumlah penduduknya selepas Kuala Terengganu dan Besut. Bagaimanapun, bancian ini telah berubah selepas penemuan petroleum sekitar tahun 1970-an yang meletakkan daerah ini di tempat kedua selepas Kuala Terengganu.
Daerah Kemaman terbahagi kepada 11 mukim dengan pusat pentadbiran dan ekonominya tertumpu di bandar Cukai. Bentuk muka bumi daerah ini dapat dibahagikan kepada tiga kawasan utama iaitu :
1. Kawasan pantai.
2. Kawasan Pedalaman
3. Kawasan kaki bukit (terletak hanya beberapa kilometer dari pantai)

Kawasan pantai mempunyai bentuk muka bumi yang rendah dan rata dengan majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti menangkap ikan. Kawasan ini memanjang sejauh kira-kira 38 batu dari Kuala Kemaman ke Kertih. Lebih separuh penduduk Kemaman tertumpu di kawasan ini.
Kawasan pedalaman daerah ini pula mempunyai bentuk muka bumi tanah tinggi dan berbukit bukau. Kawasan ini kaya dengan hasil bijih timah, tanaman kelapa sawit dan kayu kayan. Justeru itu, penempatan yang berlaku ada hubungkait dengan aktiviti ekonomi setempat.
Di samping itu, kawasan kaki bukit daerah ini mempunyai jumlah penduduk kedua teramai. Kawasan ini terletak antara kawasan persisiran pantai dan kawasan pedalaman. Aktiviti utama penduduk kawasan ini ialah sebagai petani.
Dari segi sejarah awal, Kemaman sudah mula dikenali sejak kurun kedua sebelum Masihi dengan nama “KOLE”. Ini berdasarkan kepada peta Semenanjung Tanah Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (ahli kaji bintang dan Ilmu Alam Greek, lahir di Mesir pada kurun kedua sebelum Masihi) mencatatkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur iaitu “ Perimula” dan “Kole”. Ahli Sejarah sependapat bersetuju bahawa “Perimula” adalah Kuala Sungai Terengganu manakala “Kole” pula adalah Kemaman.
Dalam pada itu, sejarah pembukaan daerah ini masih kabur ekoran tiada catatan bertulis dan bukti-bukti sahih mengenainya. Namun begitu, pakar sejarah tempatan bersetuju bahawa daerah ini mula diterokai kira-kira 300 tahun dahulu oleh Che Wan Teh dan pengikut-pengikutnya. Che Wan Teh berketurunan bangsawan Pahang telah berhijrah ke daerah ini dari Kuala Pahang berikutan kekacauan dan huru-hara yang sering berlaku di sana. Beliau telah membuka penempatan di kawasan pantai dan kampung pertama yang mula diterokai ialah kampung Bukit Mengkuang. Sebelum kedatangan kumpulan orang Melayu, daerah (kawasan ini) mulanya didiami oleh kaum Sakai yang kemudiannya berpindah ke kawasan pedalaman.
Setelah beberapa lama berkampung di Bukit Mengkuang, Che Wan Teh telah berpindah membuka perkampungan baru berhampiran muara Sungai Kemaman dikenali Tanjung Geliga. Penempatan baru ini juga tidak selamat kerana sering diganggu oleh ancaman lanun dan perompak. Oleh itu, Che Wan Teh dan pengikutnya sekali lagi berpindah dan meneroka kawasan baru di tebing Sungai Kemaman (kira-kira tiga kilometer dari Tanjung Geliga). Tempat ini kemudiannya dikenali sebagai Cukai. Peristiwa ini dapat dikukuhkan dengan adanya sebuah perkuburan lama di kawasan berkenaan. Che Wan Teh dikatakan meninggal dunia tidak beberapa lama selepas membuka Kampung Cukai. Pengikut-pengikutnya serta generasi selepas beliau kemudiannya meneruskan penerokaan kawasan-kawasan baru berikutan pertambahan penduduk dan keperluan tanah pertanian yang baru.
Selain versi secara lisan, terdapat versi lain yang merujuk kepada catatan bertulis mengaitkan pembukaan daerah Kemaman dengan bangsawan Patani yang dikenali sebagai Lebai Saris. Bagaimanapun, versi ini mencatatkan peristiwa awal abad 19 iaitu semasa Terengganu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Syah I (1808-1830) dan secara tidak langsung merupakan kesinambungan kepada proses pembukaan daerah Kemaman oleh Che Wan Teh.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails