Para pelajar pelbagai kaum di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan Program Bubur Lambuk 1Malaysia yang dimasak secara bergotong-royong di Dataran Canselori, UMT, Kuala Terengganu, semalam.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini turut tidak terkecuali untuk menjayakan acara tradisi yang dikenali Program Bubur Lambuk 1Malaysia.
Persiapan dilakukan seawal pukul 9 pagi oleh para mahasiswa dan kakitangan UMT untuk menyediakan enam kawah bubur lambuk dengan tiga resipi berbeza dari Terengganu, Kedah dan Johor.
Program yang julung-julung kalinya diadakan itu bertujuan mengukuhkan hubungan antara pelajar dan kakitangan UMT selain memperkenalkan menu tersebut kepada mahasiswa antarabangsa.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim, program tersebut bakal dijadikan acara tahunan.
"Sebelum ini, kita juga pernah mengadakan program memasak asyura secara beramai-ramai di sini dan ekoran sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa, pada tahun ini kita anjurkan pula memasak bubur lambuk.
"Program ini dilihat dapat mengeratkan silaturahim di kalangan warga kampus serta mendedahkan kalangan pelajar antarabangsa terhadap keenakan juadah berbuka ini," katanya.
Sebanyak 2,000 bungkusan bubur lambuk diagihkan kepada seluruh warga UMT kira-kira pukul 2 hingga 4 petang.
Sementara itu, seorang mahasiswa dari Palembang, Indonesia, Nanda Al-Humairah, 20, mengakui amat teruja dapat menyertai program memasak bubur lambuk itu kerana ia merupakan kali pertama dia melihat sendiri juadah itu dimasak.
Mahasiswa tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pemasaran itu berkata, dia sebelum ini hanya mendengar tentang juadah tersebut.
''Saya tidak sabar untuk menikmati bubur lambuk setelah seharian mengacau bersama teman-teman.
"Pastinya enak apabila dapat dinikmati bersama pada waktu berbuka nanti," jelasnya.
No comments:
Post a Comment