Kehadiran MB sampaikan cenderahati penaja meriahkan program
CHUKAI: Ramadan tahun ini mungkin paling bermakna buat penduduk sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, di sini apabila kawasan mereka dipilih menjadi lokasi program Semarak Ramadan anjuran Berita Harian, yang masuk tahun kedua penganjurannya.
Keceriaan jelas terpancar di wajah seluruh penduduk daerah ini terutama warga miskin, ibu tunggal dan warga emas hinggalah peniaga di bazar Ramadan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyampaikan cenderahati daripada Kumpulan Ambank; Padi Beras Nasional (Bernas); Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (YUTA); Petronas dan MKT Link Sdn Bhd (MKT Link).
Lebih 2,000 penduduk daripada beberapa kampung sekitar Kijal kemudian memeriahkan majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar di Masjid Kampung Batu 9, di sini, yang mana pada majlis itu sumbangan turut disampaikan kepada 15 anak yatim dan 23 penduduk miskin menerima barangan makanan daripada Berita Harian.
Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Pengarah Eksekutif, Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mahfar Ali; Pengarah Perhubungan Awam Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali dan Pengurus Wilayah 5 – Pahang, Terengganu dan Kelantan AmBank, Mohd Nawi Mohd Yusoff.
Terdahulu, Ahmad dengan diiringi Mahfar, Syed Ali dan Mohd Nawi melawat bazar Ramadan di pekan Kijal dan menyerahkan beg berisi barangan sumbangan AmBank berupa topi dan kemeja T, apron sumbangan Petronas dan sabun pencuci MAMMA sumbangan MKT Link, selain 2,000 naskhah Berita Harian yang diedarkan secara percuma kepada lebih 70 peniaga di situ.
Selain itu, Semarak Ramadan kali ini turut diisi dengan majlis penyampa- ian sumbangan wang zakat bernilai RM350 oleh Menteri Besar kepada 744 penerima pada majlis di Dewan Sivik, Kijal.
AmBank turut menyumbangkan wang tunai RM3,000 kepada Masjid Kampung Batu 9, Ibok.
Penduduk yang ditemui berkata, mereka teruja kerana kawasan mereka terpilih sebagai lokasi pertama program Semarak Ramadan Berita Harian tahun ini dan mengakui tambah terharu apabila berpeluang berbuka puasa bersama pemimpin kesayangan yang juga orang nombor satu di negeri ini.
Ahmad berkata, program Semarak Ramadan ini wajar dijadikan acara tahunan kerana ia menjadi platform terbaik untuk syarikat swasta mendekati masyarakat di sesebuah kawasan, selain membantu kerajaan negeri membantu golongan kurang berkemampuan terutama sempena Ramadan yang mulia.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Berita Harian menganjurkan program ini kerana ia bukan saja berjaya mengimarahkan kehadiran Ramadan, tetapi juga membuktikan syarikat swasta turut prihatin dengan nasib golongan kurang melalui Ramadan dan menyambut Aidilfitri.
“Secara peribadi saya memuji usaha Berita Harian dan AmBank ini dan berharap syarikat swasta lain boleh mengambil contoh inisiatif murni ini,” katanya.
SUMBER :
http://www.bharian.com.my/bharian/
No comments:
Post a Comment